SETIAP yang hidup pasti akan merasai mati. Apa yang membezakan hanyalah bila dan bagaimana pengakhiran hidup kita di dunia ini.
Malam tadi, Harian Metro melaporkan kejadian seorang lelaki yang juga anggota polis, meninggal dunia ketika berada di dalam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, Sungai Petani.
Rebah dalam zikir…
Menurut anak arwah, bapanya Fadzil Ahmad, 60, yang baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib, mengadu sakit dada sebelum tiba-tiba rebah ketika imam sedang membacakan zikir.
“Ayah beritahu adik yang dia sakit dada balik sambil memegang dadanya ketika imam membacakan zikir dan arwah tiba-tiba rebah tidak lama kemudian,” katanya.
Utamakan solat jemaah dan tahajud
Sedih dengan pemergian bapa tercinta, Siti Nuraida memberitahu bahawa ketika hayat bapanya masih ada, arwah adalah seorang yang sangat mengutamakan solat jemaah di masjid dan rajin mengerjakan solat sunat tahajud.
Malah, arwah juga sangat disenangi oleh rakan-rakannya, dan tahun ini pula arwah diberi peluang untuk melaungkan azan sepanjang Ramadan.
“Arwah juga antara yang bertanggungjawab melaungkan azan di surau kuaters IPD sepanjang Ramadan lalu,” katanya.
Allahuakbar. Satu pemergian yang cukup indah di sisi Maha Penciptanya. Walaupun berat untuk diterima oleh pihak keluarga, diharapkan mereka mampu untuk terus kuat dan tabah.
Sumber: kulihatlangitbiru.com