"Kebanyakan Komen Menuduh Saya Menggunakan Nama P Ramlee Untuk Popular" - Fairuz Misran


Penyanyi, Fairuz Misran, 34, mengakui ada pihak kurang senang dengan tindakannya yang sering menyanyikan lagu Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, pada acara persembahan dijayakan. Memiliki bakat suara seakan-akan bintang legenda itu, dia berkata, sebahagian warganet menuduhnya cuba menumbang populariti seniman pelbagai bakat berkenaan.

"Kebanyakan komen sering diterima di laman sosial menuduh saya menggunakan nama P Ramlee untuk popular. Saya bagaimanapun tidak pernah menganggap apa yang dilakukan itu adalah untuk menumpang nama Allahyarham, sebaliknya lebih kepada memperjuangkan lagu nyanyian dan juga lakonannya.

"Ketika ramai anak muda lebih menggemari lagu dari luar negara, saya dan mereka yang meminati karya P Ramlee terus berusaha untuk memastikan naskhah garapannya tidak dipinggirkan. Selalunya, apabila menerima komen di media sosial, saya akan baca dan cuba mentafsirkan maksudnya. Jika komen itu bersifat membina, saya akan terima, manakala komen berbentuk negatif diabaikan," katanya.

Bakat yang kian dikenali serta tular ekoran persamaan dirinya dengan pengarah, pelakon, penyanyi dan komposer tersohor itu kini bergelar artis syarikat rakaman, malah sudah muncul dengan lagu berjudul Indahnya Raya, ciptaan Harry Khalifah.

Mendengar nyanyiannya pada majlis anjuran MVM Production dan Rusa Music baru-baru ini, tidak dinafikan ia mengembalikan semula nostalgia terhadap lagu raya popular P Ramlee, Dendang Perantau. Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu itu, Fairuz berkata, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk menghayatinya sebelum bersedia memasuki studio.

"Tidak dinafikan lagu ini memang mencabar terutama dari segi teknik pernafasan. Namun, apabila sering mengadakan latihan, dapat juga saya atasi masalah berkenaan. Alhamdulillah, saya dapat menyelesaikan rakamannya dalam tempoh satu setengah jam sahaja. Mujur saya buat latihan lebih awal. Lagipun, 'mood' lagu ini yang lebih kepada irama 1960-an selain 'feelnya' sama seperti Dendang Perantau membuatkan proses rakaman menjadi mudah," katanya.

Sumber: Oh! Media