"Kami Terpaksa Menyambut 1 Syawal Berasingan" - Fizo Omar


Pelakon dan usahawan, Fizo Omar menafikan rumah tangganya sedang dilanda badai apabila dia dan isterinya meraikan sambutan 1 Syawal di lokasi berasingan. Beliau berkata dia dan isterinya, Mawar Abdul Karim sepatutnya meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

Namun, pada saat akhir, isterinya dan anak mereka, Wan Maryam terpaksa pulang ke kampung Mawar di Pulau Pinang apabila bapa mertuanya jatuh sakit. Beliau berkata selama hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah berjauhan pada hari raya.

"Kaki bapa mertua tiba-tiba terseliuh menyebabkan Mawar bimbang. Saya pula kebetulan sudah pulang ke Kota Bharu lebih awal, jadi mahu atau tidak, kami terpaksa menyambut 1 Syawal berasingan. Hubungan kami tiada masalah, malah semuanya berjalan seperti biasa. Cuma perancangan kami untuk menyambut hari raya bersama tidak menjadi kenyataan disebabkan kejadian yang tidak diduga.

"Memang terasa janggal apabila tidak bersama isteri dan anak pada pagi raya. Rindu memang rindu, tetapi apa boleh buat kerana semuanya sudah tertulis. Tiada apa yang perlu dibangkitkan kerana selepas ini, kami tetap bertemu semula apabila masing-masing pulang ke ibu kota," katanya.

Fizo dan Mawar telah mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia hampir dua tahun.
Sumber: Oh! Media