Soalan:
Bolehkah saya mengambil wudhu’ ketika memakai cincin? Jika boleh, boleh terangkan caranya? Terima kasih.
Jawapan:
Allah SWT memerintahkan seseorang itu mengambil wudhu’ sebelum mengerjakan ibadah-ibadah yang tertentu seperti solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran dan sebagainya. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah: 6)
Terdapat kelebihan-kelebihan bagi orang yang melaksanakan wudhu’ dengan sempurna dan sebaik-baiknya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Uthman Ibn ‘Affan RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
منْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوضوءَ، خَرَجَت خَطَايَاهُ مِنْ جسَدِهِ حتَّى تَخْرُجَ مِنْ تحتِ أَظفارِهِ
“Barangsiapa yang mengambil wudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya dengan sebaik-baiknya, maka keluarkan dosa-dosa daripada jasadnya sehingga keluar juga daripada celahan kuku-kukunya.” [Riwayat Muslim: (1/216)]
Pada asalnya, hukum memakai cincin bagi golongan lelaki ialah harus, kecuali cincin yang diperbuat daripada emas. Cincin yang diperbuat daripada emas diharamkan keatas lelaki berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
“Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.” [Riwayat Muslim (2089)]
Manakala, bagi golongan perempuan pula, ijma’ para ulama menyatakan keharusan perempuan untuk memakai emas sebagai perhiasan buat dirinya dan ijma’ para ulama’ mengatakan haram bagi lelaki. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim lin Nawawi, 14:65)
Berkenaan hukum dan cara mengambil wudhu’ dengan memakai cincin, para ulama berbeza pandangan kepada dua pendapat:
- Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa wajib untuk menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan untuk mengambil wudhu’, jika sekiranya cincin tersebut ketat dan sempit ruangnya yang tidak dapat dipastikan bahawa air sampai ke dalamnya. Namun, jika sekiranya cincin itu longgar atau dapat dipastikan bahawa air sampai kepada kulit, maka tidak wajib untuk menggerak-gerakkan cincin tersebut, bahkan sunat sahaja untuk melakukannya.
- Para ulama’ Malikiyyah pula berpandangan bahawa tidak wajib untuk mengubah kedudukan cincin pada jari seseorang yang berwudhu’ walaupun ia ketat, jika sekiranya cincin tersebut daripada apa yang dibenarkan oleh syarak. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:30)
Walaubagaimanapun, berbeza keadaannya jika seseorang itu mengangkat hadas dengan bertayammum. Jumhur ulama’ daripada Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah bersepakat bahawa perlu untuk menanggalkan cincin ketika bertayammum bagi memastikan debu-debu tanah itu sampai kepada kulit orang yang bertayammum tersebut. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11:31)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sah wudhu’ bagi seseorang yang memakai cincin. Namun, jika sekiranya cincin yang dipakai itu agak ketat dan tidak dapat dipastikan bahawa air mengenai kulit di bawahnya, maka wajib untuk dia mengerak-gerakkan cincinnya tersebut dan memastikan air mengenai kulitnya.
Di samping itu, kami menggalakkan kepada seseorang yang memakai cincin yang longgar untuk menggerakkan juga cincin tersebut bagi memastikan air benar-benar sampai ke kulitnya. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang menyebut:
الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
“Mengambil pendapat yang keluar daripada khilaf adalah disukai.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair li al-Suyuti: 136)
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan melakukan amal ketaatan menepati kehendak Allah SWT dan RasulNya. Amin.
Wallahua'lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media