Hukum Bekerja Di Syarikat Yang Menghasilkan Makanan Haiwan Termasuk Anjing Dan Khinzir


Soalan:
Apa hukum kerja di syarikat yang menghasilkan makanan haiwan untuk pelbagai jenis haiwan? Antara haiwan tersebut adalah ayam, ikan, angsa, itik, babi, anjing dan juga ikan.

Jawapan:
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi juga tuntutan untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.” [Riwayat Muslim (1955)]

Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berbuat ihsan kepada kesemua makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di: “Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada semua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan).” [Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127)]

Dari sudut hukum fekah, perkataan كَتَبَ menunjukkan kepada hukum wajib. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: “Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha dan usuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat.” [Rujuk Tafsir Ibn Rajab (1/617)]

Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka.


Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
“Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
“Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.” [Riwayat Al-Bukhari (2365)]

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Abu Hurairah R.A beliau menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَنَّ رَجُلاً رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَأَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
“Sesungguhnya seorang lelaki telah melihat seekor anjing memakan lumpur disebabkan terlalu dahaga. Maka lelaki tersebut mengambil khufnya dan mengisinya dengan air lalu memberi minum kepada anjing tersebut sehingga hilang dahaganya, maka Allah berterima kasih kepada lelaki itu dan memasukkannya ke dalam syurga.” [Riwayat Al-Bukhari (173)]

Berdasarkan hadis di atas, antara faedah yang boleh dikeluarkan adalah perbuatan memberi minum kepada anjing yang dahaga termasuk dalam kalangan amalan yang menyebabkan seseorang itu dimasukkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum berkerja di syarikat penghasilan makanan untuk pelbagai jenis haiwan termasuk anjing dan khinzir adalah harus. Ini kerana, secara asalnya hukum bagi sesuatu urusan mu’amalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil yang melarangnya.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media