SELANG satu jam selepas abang meninggal dunia adik pula menghembus nafas terakhir pada Rabu, 8 Syawal lalu.
Yahya Amat, 84, dan Samsiah Bais, 79, masing-masing merupakan anak kedua serta ketiga daripada lima beradik.
Mereka tinggal di rumah berasingan secara bersebelahan di Kampung Sejantung, Sungai Choh, Hulu Selangor dengan penjagaan harian diuruskan oleh dua anak perempuan kepada Allahyarham Samsiah.
Nooraini Mohd Said, 55, berkata, bapa saudaranya (Yahya) yang dipanggil dengan gelaran Pak Andak meninggal dunia pada jam 6.40 petang akibat sakit tua.
Katanya, ketika arwah bapa saudaranya itu dalam keadaan nazak, ibunya berada di sisi sehingga Pak Andak menghembuskan nafas terakhir.
“Pak Andak dan ibu tak ada sakit apa-apa cuma tahap ketahanan diri mereka berdua semakin menyusut sejak sebulan lalu.
“Pak Andak terlantar di katil dan walaupun ibu bergerak menggunakan kerusi roda tapi dia akan menjenguk Pak Andak setiap hari.
“Pada petang itu, bila saya beritahu ibu mengenai keadaan Pak Andak dan ibu segera meminta saya bawa dia untuk tengok Pak Andak,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sementara ahli keluarga lain membacakan surah Yasin, ibunya berada di sisi Pak Andak sehingga lelaki itu menghembuskan nafas terakhir.
Nooraini berkata, sebaik dimaklumkan abang kandung sudah tiada, ibunya membalas dengan kata ‘sudah sampai masanya dia pergilah’.
Katanya, keadaan Samsiah ketika itu seperti gelisah dan dia beranggapan ibunya itu terlalu sedih.
Justeru katanya, dia meminta anak saudara membawa ibunya balik ke rumah untuk berehat.
“Tiba-tiba dengan panggilan kuat daripada anak saudara yang saya ingatkan ibu terjatuh tetapi rupa-rupanya keadaan ibu semakin lemah.
“Kami angkat ibu dari kerusi roda untuk dibaringkan atas katil dan tak lama kemudian, ibu menghembuskan nafas terakhir jam 7.45 malam,” katanya.
Noraini berkata, dia tergamam seketika kerana baru memaklumkan pemergian Pak Andak kepada ahli keluarga menerusi WhatsApp.
Menurutnya, dia seakan-akan tidak percaya perlu menghantar satu lagi mesej memberitahu bahawa ibunya pula menyusul pergi buat selama-lamanya.
Sementara itu anak sulung Allahyarham Samsiah, Suhaimi, 59, berkata, hubungan ibunya dengan Pak Andak sangat rapat memandangkan tiga adik-beradik lain sudah meninggal dunia.
Katanya, adik bongsu kepada kedua-dua Allahyarham meninggal dunia tahun lepas.
“Pak Andak tak pernah berkahwin dan selepas pencen Risda, makan minum dia dijaga oleh anak saudara bersama arwah ibu di sini.
“Dengan anak-anak saudara, Pak Andak tak pernah berkira dan sentiasa mengambil berat maka sebab itu dia sangat disayangi kami.
“Tak ada sakit apa-apa sebab dah bawa ke hospital buat pemeriksaan tapi disebabkan faktor usia, tenaga pun makin berkurangan,” katanya.
Suhaimi berkata, kebiasaan ibunya akan meminta dia mengurut belakang badannya namun sejak sebulan lalu Samsiah mengadu sakit walaupun diurut dengan perlahan.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri lalu menjadi kenangan terakhir namun bermakna apabila ibunya kelihatan gembira dan berselera untuk merasai beberapa jenis kuih.
“Arwah ibu dijaga dua adik saya iaitu Nooraini dan Noorzilah serta setiap hari sebelum makan dia akan tanya Pak Andak dah makan ke belum.
“Ada hikmah ALLAH SWT nak tunjuk mengenai betapa besarnya kasih sayang antara adik-beradik sehingga mereka ‘pergi’ pun bersama,” katanya.
Suhaimi berkata, pemergian dua beradik yang meninggal dunia pada hari sama dan dalam tempoh selang satu jam itu dikatakan kali pertama berlaku di kampung berkenaan.
Allahyarham Yahya dan Samsiah selamat dikebumikan secara bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh Khamis lalu.
Sumber: kulihatlangitbiru.com