Pelatih pakar bedah warganegara Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri kini popular di media sosial kerana budi baik beliau kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin. Pembedahan yang berjaya membuang tumor 200 gram di mulut bayi berusia sembilan bulan itu yang dijalankan di sebuah hospital kanak-kanak di London hasil inisiatif beliau menjadi viral.
Beliau menduduki tempat kelapan antara tweet paling tinggi di Twitter, menerima kira-kira 44,500 tweet setakat jam 1 tengah hari. Pengguna Twitter mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada beliau atas kejayaan pembedahan itu dan bantuan yang dihulurkannya bagi membolehkan Ainul Mardhiah dibawa ke London bersama kedua-dua ibu bapanya untuk menjalani pembedahan itu.
Selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor menerusi akaun Twitternya, @Neelofa menyatakan kesyukuran atas kejayaan pembedahan itu dan mendoakan agar Ainul Mardhiah cepat sembuh.
"Alhamdulillah, berita baik! Semoga cepat sembuh Ainul dan terima kasih kepada pasukan yang hebat dan Dr Amalina atas usaha ini!" kata Neelofa.
Koresponden TV3 Malaysia di United Kingdom, Haliza Hashim (@HalizaTV3London) menyatakan terima kasih kepada Dr Nur Amalina atas usaha beliau membawa keluarga itu ke London.
"Sejak beberapa tahun ini saya telah menulis banyak cerita mengenai @DrAmalinaBakri. Betapa besarnya cabaran untuk membawa bayi #ainulmardhiah ke London. Saya amat berbangga dengan anda, doktor!" katanya menerusi tweet.
Sementara itu, netizen memenuhkan akaun Instagram Dr Nur Amalina dengan ucapan tahniah dan komen-komen baik atas kejayaan pembedahan itu. Pakar Dermatologi Dr Shaaira Nasir turut memuji Dr Nur Amalina atas kejayaannya menyelamatkan bayi itu.
"Usaha yang menakjubkan. Saya tidak sabar-sabar hendak melihat kemajuan dan perkembangan beliau mulai dari sekarang. Alhamdulillah," katanya di status Instagram Dr Nur Amalina.
Bapa Ainul Mardhiah memberitahu menerusi akaun Facebooknya pada hari Selasa lalu yang Ainul telah sedar dan dirawat di unit rawatan rapi untuk memastikan keadaannya stabil sebelum dipindahkan ke wad biasa kemudian.
Semalam beliau menghantar video Ainul Mardhiah yang cuba bertindak balas kepada ibunya yang bertutur sesuatu kepadanya. Berita mengenai keadaan kanak-kanak itu tular di media sosial sebelum Dr Nur Amalina menghulurkan bantuan. Malaysia Airlines menyumbangkan tiket penerbangan untuk bayi itu dan kedua-dua ibu bapanya.
Sumber: Oh! Media