KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat pertahanan import dari Brazil, Luis Gustavo Camilo.
Perkembangan mengecewakan itu dimaklumkan Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil berikutan sehingga kini persatuan itu belum mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Katanya, FIFA tidak dapat mengeluarkan sijil berkenaan kerana PBSNT membuat permohonan berkenaan pada saat-saat akhir jendela perpindahan sebelum ia ditutup pada 29 Mei lalu.
Tengku Farok menambah, PBSNT sudah membuat rayuan pertama kepada badan induk bola sepak dunia itu melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, tetapi ditolak.
"Rayuan kedua juga sudah dikemukakan dan kami harap menerima jawapan yang positif daripada FIFA bagi membolehkan Camilo dapat beraksi bersama TFC, lagipun semua prosedur perpindahan sudah kita penuhi sebelum ini dan hanya menanti ITC.
"Kita harap FAM dapat membantu menyelesaikan perkara ini kerana khidmat Camilo amat diperlukan bagi mengukuhkan pertahanan Terengganu.
"Kita juga sedang berhubung dengan pengurusan kelab pemain itu, Ferroviaria di Brazil bagi membincangkan kedudukan Camilo sekiranya PBSNT gagal menggunakan khidmat pemain itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Hotel Primula, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata keputusan untuk menukar pemain import yang dilakukan pada saat-saat akhir menyebabkan berlaku sedikit kesulitan biarpun dokumen sudah disiapkan.
"Jika mengikut tarikh permohonan dibuat masih lagi dalam tempoh jendela perpindahan walaupun menurut FIFA tempoh itu sebenarnya sudah pun ditutup," katanya.
Sebelum ini TFC menggugurkan pertahanan dari Mentenegro, Igor Zonjic pada penghujung Mei lalu selepas yakin dapat menggunakan khidmat Camilo.
Namun sehingga hari ini kelibat pemain yang digelar 'The Tanker' itu masih belum muncul biarpun PBSNT sebelum ini memaklumkan pemain itu bakal tiba awal minggu ini dan boleh disenaraikan bertemu Kuala Lumpur pada Rabu ini. - Berita Harian