Cermin kereta pecah, anak tetamu raya main baling-baling batu

DUNGUN – “Apa yang berlaku menyebabkan saya hilang ‘mood’ untuk beraya dan rasa geram kerana tidak tahu siapa pelakunya ” kata Muhammad Fairus Abu Bakar, 27.

Dia kesal selepas cermin belakang kereta Proton Persona kepunyaannya pecah dipercayai akibat dibaling batu oleh anak tetamu yang datang beraya di rumah keluarganya di Kampung Seberang Pintasan, di sini.

Muhammad Fairus berkata, apa yang berlaku mendorongnya untuk meluahkan rasa geram menerusi ciapan di Twitter berserta gambar sebagai bukti cermin keretanya yang pecah dipercayai oleh anak tetamu hadir ke rumah keluarganya.

Sehingga kini, ciapan itu menerima lebih 6,500 ulang ciap dan hampir 3,500 tanda suka.

Berkongsi pengalaman, Muhammad Fairus berkata, kejadian itu berlaku kelmarin iaitu pada hari raya kedua, kira-kira 12 tengahari sewaktu dia menerima kedatangan tetamu yang juga rakannya.

“Saya meletak kereta di perkarangan rumah dan bukan di dalam garaj kerana sudah penuh dengan kenderaan adik-beradik lain.

“Namun, saya tidak bernasib baik apabila cermin belakang kereta pecah ketika menerima kedatangan tetamu pada hari raya kedua.

“Sewaktu kejadian, saya sedang asyik berbual dengan rakan di luar rumah dan hanya menyedari apa yang berlaku selepas ke kereta bagi mengambil duit raya untuk diberi kepada anak tetamu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Fairus berkata, dia enggan menuduh sesiapa kerana tidak menyaksikan sendiri insiden berkenaan tetapi kecewa kerana sehingga kini, tiada siapa yang bertemu dengannya untuk mengakui kesalahan, jauh sekali tampil memohon maaf.

Menurut Muhammad Fairus, lebih membuatkannya ralat kerana kereta itu baru setahun digunakan selepas dibeli pada tahun lalu.

“Saya nampak kanak-kanak bermain batu pada hari kejadian dan tidak pasti jika mereka yang melakukannya tanpa sengaja tetapi hanya mereka yang ada di luar rumah ketika itu.

“Disebabkan itu, saya luahkan rasa geram menerusi ciapan di Twitter dengan niat untuk memberi peringatan kepada tetamu yang membawa anak mereka beraya di rumah rakan atau saudara mara.

”Banyak maklum balas diterima dan kebanyakannya memberi sokongan tetapi ada juga menyalahkan saya kerana meletak kereta di tempat tidak sepatutnya.

”Apa pun, perkara itu sudah berlaku cuma agak bimbang untuk menerima kedatangan kanak-kanak beraya di rumah selepas ini dan akan mengambil langkah berhati-hati kerana enggan kejadian sama berulang,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com