Budak perempuan keracunan, bibir kejang tergigit keladi hiasan

“KALAU kita ada tanam pokok keladi ini, eloklah dibuang sahaja sebab ianya beracun” Itu pesan seorang wanita selepas anaknya keracunan akibat tergigit daun pokok tersebut ketika bermain di luar rumah.

Husnul Khotimah berkata, dalam kejadian petang kelmarin itu anak perempuannya, Nashwa, berusia 4 tahun, sedang bermain di luar rumah dan tergigit sedikit daun tersebut.

“Tiba-tiba Nashwa lari masuk rumah dalam keadaan menangis macam luka teruk tetapi tak nampak apa-apa kesan. Ibu panik sebab tak tahu puncanya. Dia pula tak nak beritahu sebab takut kena marah. Tetapi selepas dipujuk dia akhirnya beritahu tergigit daun tersebut,” katanya.

Husnul Khotimah kemudiannya meminta adiknya ‘google’ mengenai pokok keladi tersebut dan menemui maklumat mengenainya di satu portal online.

“Dieffenbachia. Pokok hiasan yang sering diletakkan di perkarangan rumah. Getah dan daunnya mengandungi racun calcium oxalate sederhana yang boleh mnyebabkan kegatalan, kekejangan bibir dan lidah jika tergigit.

“Nashwa terkena getah pokok tersebut menyebabkan bibirnya kejang dan mulut gagal ditutup. Air liur pula tak berhenti menitik,” katanya.

Selepas mengetahui mengenai bahaya pokok tersebut, Husnul Khotimah terus membawa Nashwa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor tanya ada telan atau tidak tetapi ibu tak dapat jawab dan Nashwa pula tak boleh bercakap. Doktor periksa saluran penafasan Nashwa dan beritahu semuanya tiada masalah.

“Doktor kata kalau tertelan, kerongkong akan bengkak dan menyebabkan saluran pernafasan tersekat. Doktor bagi ubat untuk surutkan bengkak dan arang untuk serap racun sekiranya ada yang masuk perut,” katanya.

Husnul Khotimah berkata, keadaan anaknya beransur pulih dan dia sempat bertanya apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian tempoh hari.

“Nashwa cerita dia ambil satu tangkai dan koyakkan daun tersebut. Ada dia gigit sikit sahaja. Lepas itu dia ludah balik dan lari masuk rumah minum air. Katanya pedih. Mujurlah tergigit sedikit sahaja kalau tertelan banyak macam mana? Nauzubillah moga dijauhkan,” katanya.

Husnul Khotimah turut berpesan kepada ibu bapa yang ada menanam pokok tersebut supaya membuangnya agar kejadian yang menimpa dirinya tidak berlaku pada orang lain.

“Risau budak-budak yang tidak tahu apa ambil masuk mulut. Mereka curious dan semua benda nak explore. Kita kena sediakan persekitaran yang selamat untuk mereka. Sentiasa pantau apa budak-budak kecil ini buat. Lagi-lagi musim raya ini merata-rata kita ziarah saudara-mara dan kawan-kawan,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com