Budak maut, kepala terkena kipas siling selepas dilambung sepupu


Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas terkena kipas siling. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam Ahad lalu di rumah teres dua tingkat di Tasik Tambahan, mangsa dilambung oleh sepupu lelakinya (warga Myanmar) yang berusia 25 tahun. 

Difahamkan, suspek melambung mangsa yang sedang menangis ketika bermain bersama, menyebabkan kepala mangsa terkena bilah kipas siling. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 malam keesokan harinya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan keputusan mendapati, mangsa maut akibat parah di bahagian kepala kerana hentakan trauma objek tumpul. 

Susulan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Bertindak di atas laporan itu, suspek ditahan di IPD Ampang Jaya jam 1.15 tengah hari, Selasa dan direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my