'Bila balik beraya di kampung, tolong jangan buat mak macam bibik'


Sudah menjadi kebiasaan untuk orag ramai pulang ke kampung bila ada musim perayaan. Tetapi haruslah diingatkan bahawa, usah dilayan ibu bapa sebagai bibik untuk menguruskan semua perkara. Yang mana sudah berumah tangga, nasihatkanlah pasangan masing-masing membantu keluarga. 

Jangan ambil kesempatan untuk bergoyang kaki, tiada lagi istillah 'buat macam rumah sendiri'. Sebaik-baiknya sama-sama membantu, ringankan beban ibu bapa seperti apa yang ditegur oleh penulis ini. Semoga menjadi pengajaran buat semua.

AKU anak bongsu, ada abang enam orang dan kakak seorang. Memandangkan aku saja yang belum kahwin lagi, aku saja yang selalu dengan mak sebab aku dapat belajar dekat dengan rumah. Tetapi aku duduk di hostel juga. Mak selalu cerita dekat aku. 

Al-kisahnya, apa yang aku dengar dari mak, dia macam tak suka sangat anak-anak dia balik ramai-ramai masa raya. By the way, anak suadara aku dah berbelas orang dan semuanya budak-budak lagi. Yang paling besar pun masih sekolah rendah. Yang baby pun ramai. Korang bayangkan rumah aku time raya macam mana.

Pada mulanya aku pun pelik dengan mak aku, tapi lama kelamaan, aku faham sebab aku pun rasa geram juga kadang-kadang. Semua yangb alik itu macam terlalu bergantung dengan mak aku. Kalau mak tak masak, memang kebulurlah semua orang dalam rumah. 

So, aku saja yang belum berkahwin. Mak selalu suruh aku buat itu ini. Aku bukan nak mengeluh ke apa, tapi aku geram. Mostly diorang tak bawa pun kelengkapan mandi atau tidur. Sebab dah tahu di rumah ini semua benda ada. 

Tak kisah pun kalau nak guna tapi aku kesian kat mak masa diorang semua balik kampung. Diorang tinggal benda-benda yang diorang dah guna macam duduk di hotel. So, memang kena kutip dan basuh semua. Banyak gila kot? Kadang-kadang tu sampai 2-3 kali masuk mesin basuh. Kalau aku tak ada atau aku ada kelas awal, mak aku yang kena uruskan semua. 

Mak ada penyakit darah tinggi + kencing manis. Kadang-kadang tu sampai demam selepas semua orang balik tempat masing-masing. Mak jenis yang tak suka tegur sebab takut ada yang bergaduh nanti. 

Kalau tetamu datang hari raya pun, aku dengan mak yang kelam kabut naik turun tangga. Kemudian sudahlah kena masak banyak-banyak sebab anak cucu saja dah berapa ramai dah. 20 lebih kot? Hari tu pun kenduri abang aku, sampai aku demam seminggu. 

Raya tahun lepas, kawan-kawan aku datang beraya. Diorang nak tumpang sembahyang di rumah aku sebab masa itu dah lewat. Aku tak kisah sebab dah biasa. Lagipun bilik kosong ada saja. Selepas kawan aku balik. baru aku perasan pampers anak-anak buah aku menimbun di tandas. Aku tak tahu nak letak muka kat mana. Mesti kawan aku geli masa nak guna tandas itu tadi. 

Aku tak perasan sebelum ini sebab aku mandi bilik air lain. Sebab itulah kalau kawan-kawan aku nak datang, aku kena balik kemas apa yang patut dulu sebelum diorang datang. 

Kuih dalam balang tu, kalau aku tak top up, kosonglah balang tu. Air tumpah pun, bukan nak pergi tolong lap, dengan ratu-ratu semut datang aku rasa. Kalau tak ada orang buat air, memang tak ada manusia nak pergi buatkan untuk tetamu. 

Satu masalah lagi, sudahlah malas nak buat air, bila orang sibuk nak hidang pada tetamu, anak-anak diorang juga yang sibuk meminta air. Aku paling tak suka budak-budak buat kacau masa tetamu datang sebab aku memang dah diajar mak masa kecil-kecil dulu, selagi orang tak bagi, jangan haraplah nak merasa air itu. 

Dipendekkan cerita, kalau mak tak ada, semua orang kebulur. Kalau aku tak ada, rumah itu jadi tongkang pecah. So di sini aku nak cakap pada semua orang yang nak balik beraya itu, tolong sangat-sangat ada common sense itu. Tolonglah apa yang patut, tolonglah jangan buat rumah itu macam di hotel. Tolong sangat-sangat ada rasa geli terhadap benda-benda yang kotor. Tolong jangan buat mak macam bibik. Yang suami itu, kalau dah nampak isteri tak buat kerja, ringankanlah mulut itu. 

Aku confess kat sini bukan nak mengaibkan sesiapa. Cuma benda inilah yang boleh aku tegur korang yang dah kahwin atau yang akan kahwin. Sebab  tak nak nanti ada yang bermasam muka dengan mentua atau ipar duai. Kadang-kadang itu, common sense ini tak ada dalam diri seseorang itu sebab dia tak pernah rasa sebelum ini. Mungkin sebelum ini semua kerja-kerja rumah bibik yang buatkan. 

Okey, sampai sini sajalah aku nak membebel. Saya ini bukannya baik sangat pun. Hanya teguran dan semoga menjadi pengajaran untuk semua. Ambil yang baik-baik saja. Doakan saya menjadi anak yang solehah dan juga isteri yang solehah. InshaAllah. 

Sumber: Anak bongus, IIMUC


Sumber : thereporter.my