KUALA TERENGGANU – “Saya sudah maafkan dan nak abang balik. Mungkin juga ada salah silap saya pada abang, maafkan mama,” rintih Sharifah Anis Munira Syed Mohd Alit, ibu kepada Ammar Najmuddin Abdullah, 15 yang dilaporkan hilang sejak 15 Mei lalu.
Sharifah Anis berkata, sebelum kehilangan itu berlaku perselisihan faham dengan anak sulung dari tiga beradik itu menyebabkannya melarikan diri dari rumah.
“Saya tidak sangka sejauh ini tindakan diambil abang sehingga dia sanggup lari dari rumah.
“Selepas keluar dari rumah, saya ada pujuk dengan membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp. Namun, kemudiannya dia menyekat aplikasi WhatsApp saya sehingga memaksa saya meminta bantuan anak lain untuk memujuknya,” katanya.
Sharifah Anis berkata, selepas perkara ini menjadi tular di media sosial, dia mendapat maklumat anaknya masih berada di Terengganu dan usaha memujuknya sedang dilakukan.
“Saya mendapat maklumat daripada orang awam dan kenalan rapat Ammar sendiri bahawa dia berada dalam keadaan selamat. Malah pihak terbabit juga sedang berusaha memujuk abang supaya pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, paling membuatkan hatinya pilu apabila meraikan Syawal tanpa anaknya itu selain mengenangkan hari lahir Ammar ke-15 semalam.
“Tiada apa yang mampu saya ungkapkan selain mampu berdoa semoga Allah SWT lembutkan hatinya dan pulang semula pada pangkuan keluarga.
“Saya harap abang selamat walau di mana pun dia berada sekarang,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com