‘Ayoh’ sudah bersedia kekang asakan


KUALA TERENGGANU: Pemain pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Kamal Azizi Mohd Zabri sedia mengekang rangkaian penyerang Melaka United (MU) daripada bergerak bebas apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Malah, pemain yang lebih mesra dipanggil 'Ayah' itu juga bertekad mahu memusnahkan impian skuad kendalian Zainal Abidin Hassan biarpun beraksi di depan penyokong setia mereka.

"Selepas berehat panjang sempena Aidilfitri, kami sudah bersedia sepenuhnya bertemu Melaka dalam misi mengutip tiga mata.

"Bagi saya sendiri, harap dapat memberikan aksi lebih 100 peratus, bermain seperti mana jurulatih arahkan kerana kami mahu mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Jika menang 1-0 pun sudah bermakna bagi kami sebagai pasukan pelawat kerana apa yang lebih penting kepada kami adalah tiga mata sekali gus mengulangi kemenangan 3-0 pada aksi pusingan pertama bertemu skuad itu di tempat kami Mac lalu," kata pertahanan kanan kelahiran Ajil, Kuala Berang itu.

Ditanya peluang untuk terus kekal sebagai pemain utama, Kamal menyerahkan keputusan itu kepada barisan jurulatih.

"Bagi saya, seseorang pemain diturunkan dalam kesebelasan utama berdasarkan percaturan jurulatih, mungkin kali ini saya beraksi dan mungkin perlawanan lain pemain lain pula, yang penting kami tekad pamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan," katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan pemain import baru, Luis Gustavo Camilo di benteng pertahanan kerana masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), bekas pemain T-Team berusia 26 tahun itu mengakui tugas getir bakal dihadapinya bersama tiga lagi pertahanan.

"Namun begitu, bola sepak bukan aksi individu tetapi berpasukan... justeru saya percaya rakan sepasukan akan turut membantu menyekat pemain lawan daripada bermaharajalela terutama di dalam kawasan penalti," katanya yang menyertai TFC pada 2017. - Berita Harian