Anak muda pengundi PH ‘tak mengaji kitab’ – Hadi

PAS menyifatkan 30 peratus anak muda yang mengundi PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu sebagai kekurangan ilmu agama sehingga gagal memahami Islam mengikut makna sebenar.

Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata disebabkan itu golongan terbabit didakwanya melakukan kesilapan apabila menumbangkan BN, dan mengundang mudarat lebih besar dengan memilih PH.

“Tiga puluh peratus pengudi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun yang tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan Facebook, mengaji dengan WhatsApp.

“Kefahaman (mereka) dalam masa singkat, dengan WhatsApp, (kemudian) membuat sikap politik,” katanya.

Sedangkan kata Abdul Hadi, keputusan politik tidak boleh dibuat sekadar kajian “dua tiga minit” seperti didakwa yang dilakukan pengundi muda terbabit.

“Politik bukan kajian dua tiga minit (tetapi) untuk beberapa tahun akan datang, akhirnya (mereka) membuat keputusan yang salah,” katanya semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS di Bukit Gambang Resort City, dekat Kuantan, Pahang hari ini.

Tidak seperti selalu muktamar berkenaan dirasmikan sendiri oleh presiden PAS berbanding timbalan sebelum ini.

Video politik malukan negara

Pada 9 Mei tahun lalu PH menumbangkan BN untuk kali pertama sejak PRU diadakan di negara ini ketika PAS menyusun strategi menjadi penentu kuasa (king maker) dengan membawa Gagasan Sejahtera.

Sebahagian daripada kejayaan PH menafikan mandat kepada BN adalah hasil sumbangan oleh pengundi muda. PAS pula kekal di Kelantan dan merampas Terengganu daripada BN.

Abdul Hadi juga berkias untuk menjelaskan sikap pengundi muda terbabit.

Kata anggota parlimen Marang itu mereka mengambil sikap yang salah dan mendakwa 90 peratus pengundi PH ialah kalangan orang bukan Islam.

“Kerana marahkah Umno, kelambu dibakar; marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Sembilan puluh peratus bukan Islam mengundi PH,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS juga sebenarnya tidak sehaluan dengan BN namun menganggap menumbangkan gabungan tersebut pada PRU lalu adalah langkah yang silap.

Hal itu kerana, kata Abdul Hadi, ia hanya akan mengundang mudarat lebih besar pada negara.

Malah, Abdul Hadi berkata, lebih malang apabila PH didominasi oleh parti yang ekstrem dan semakin berani menyentuh soal Islam dan raja-raja Melayu.

Sementara itu, Abdul Hadi menyifatkan negara berdepan dengan kecelaruan politik tidak bermoral dengan tersebar “video politik”.

Ia dipercayai merujuk kepada video intim membabitkan seorang anggota PKR dan lagi lelaki lain didakwanya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Katanya, tersebarnya kegiatan tidak bermoral itu adalah memalukan negara.



Sumber: kulihatlangitbiru.com