Adakah Batal Wudhu’ Apabila Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Berlainan Jantina?


Soalan:
Adakah batal wudhu’ seorang lelaki dewasa atau perempuan dewasa yang bersentuhan kulit dengan kanak-kanak perempuan atau lelaki? Mohon penjelasan.

Jawapan:
Secara umumnya, dalam isu persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ini para ulama berbeza pendapat kepada tiga pandangan utama yang kami ringkaskan seperti berikut:

  • Persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’ secara mutlak.
  • Persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan membatalkan wudhu’ secara mutlak.
  • Persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan membatalkan wudhu’ sekiranya dengan bersyahwat dan tidak membatalkan wudhu’ sekiranya tidak bersyahwat.

Pandangan-pandangan di atas ini kesemuanya adalah bertitik tolak dari firman Allah S.W.T:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
“Ataupun kamu bersentuhan dengan orang perempuan.” [Surah Al-Nisa’ (43)]

Sebahagian ulama berpegang dengan zahir ayat tersebut yang menunjukkan kepada perbuatan اللمس iaitu menyentuh. Justeru semata-mata berlakunya persentuhan antara lelaki dan perempuan maka telah terbatallah wudhu’ bagi kedua-duanya. Antara hujah yang digunakan dalam menguatkan pandangan ini adalah sebuah kaedah fekah:

الأَصْلُ فِي الكَلَام حَقِيقَة
“Asal bagi sesuatu ucapan adalah secara hakikat (iaitu merujuk kepada maknanya yang sebenar).”

Oleh yang demikian, perkataan ‘menyentuh’ itu hendaklah difahami dengan maknanya yang sebenar dan bukannya dianggap sebagai bahasa majaz atau kiasan.

Meskipun begitu, para ulama lain berpendapat bahawa perkataan ‘menyentuh’ di dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada maknanya yang majaz iaitu persetubuhan yang berlaku antara lelaki dan perempuan. Justeru, semata-mata persentuhan tidaklah membatalkan wudhu’ sebaliknya wudhu’ terbatal apabila berlakunya persetubuhan.

Pendapat ini dikuatkan dengan antara hujahnya adalah berdasarkan sebuah kaedah fekah:

إِذَا تَعَذَّرَ إِعْمَالُ الكَلَام علَى الحَقِيقَةِ يُصَارُ إِلَى المَجَاز
“Apabila terdapatnya keuzuran untuk menggunakan sesuatu ucapan kepada maknanya yang hakiki maka dialihkan ucapan tersebut kepada maknanya yang majaz (kiasan).”

Ini kerana kata mereka terdapat beberapa keuzuran untuk kita meletakkan ayat tersebut kepada maknanya yang hakiki. Antaranya adalah berkenaan riwayat-riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W ada bersentuhan dengan para isteri baginda dan baginda tidak memperbaharui wudhu’ selepas itu.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.Anha beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W mencium sebahagian isteri baginda kemudian baginda keluar menuju solat dan baginda tidak berwudhu’.” [Riwayat Ibn Majah (502)]

Berdasarkan hadis di atas ini juga, para ulama sebahagiannya menyebut dengan lebih spesifik bahawa ciuman ini terbahagi kepada dua. Pertama, disebut sebagai ciuman rahmat (kasih sayang) maka yang ini tidak membatalkan wudhu’. Kedua, ciuman syahwat (yang merangsang nafsu) maka jenis ini membatalkan wudhu’.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan adakah batal wuduk seorang lelaki dewasa bersentuhan kulit dengan kanak-kanak perempuan, suka untuk kami kongsikan sebuah pandangan dari Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi yang menyebut:

Terdapat lima syarat untuk menjadikan persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan itu membatalkan wudhu’. Kami sertakan pandangan beliau dengan sedikit olahan dan tambahan seperti berikut:

  • Persentuhan itu hendaklah antara lelaki dan perempuan. Maka tidak batal wudhu’ apabila seseorang menyentuh sesama jantina.
  • Persentuhan itu hendaklah pada kulit. Jika yang disentuh adalah rambut, gigi atau kuku, maka ia tidak membatalkan wudhu’.
  • Persentuhan tersebut berlaku dengan ajnabi. Adapun persentuhan lelaki atau perempuan dengan mahram mereka ianya tidaklah membatalkan wudhu’.
  • Persentuhan berlaku tanpa lapik. Sekiranya kedua-duanya berlapik atau salah seorangnya berlapik dan berlaku persentuhan antara keduanya, maka ini tidak membatalkan wudhu’.
  • Persentuhan berlaku antara lelaki dan perempuan yang dewasa. Adapun persentuhan lelaki dewasa atau wanita dewasa dengan kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki maka ini tidaklah membatalkan wudhu’.

[Rujuk Kasyifah Al-Saja, Nawawi bin Umar (Hlm. 113)]

Kata Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili: “Tidak membatalkan wudhu’ jika menyentuh kanak-kanak perempuan (sekiranya tidak mendatangkan syahwat) serta menyentuh rambut, kuku atau gigi. Batal wudhu’ sekiranya menyentuh orang tua walaupun tidak bernafsu.” [Rujuk Al-Mu’tamad Fi Fiqh Al-Syafie, Al-Zuhaili (1/87)]

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa persentuhan orang dewasa dengan kanak-kanak tidaklah membatalkan wudhu’ sekiranya tidak mendatangkan syahwat. Dan dimaksudkan dengan kanak-kanak adalah mereka yang belum mencapai had umur baligh. Wallahua’lam.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media