50,000 pengunjung hadir rumah terbuka Tok Mat

REMBAU – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kampung Tanjung, Rantau di sini mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri kira-kira 50,000 orang sehingga pukul 1 petang tadi.

Orang ramai daripada pelbagai kaum mula membanjiri rumah terbuka tersebut sejak pukul 9 pagi dan majlis dijadualkan berakhir pukul 5 petang.

Yang turut hadir Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah dan Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian tetamu dan disambut dengan laungan ‘Bossku’.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah antaranya lemang, rendang, nasi minyak selain dihiburkan oleh persembahan tiga kumpulan muzik.

Majlis rumah terbuka itu dianjurkan oleh Mohamad setiap tahun sejak menjadi Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau pada tahun 2004. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com