Dua suspek yang didakwa membunuh seorang pemandu Grab beberapa minggu lalu di Tuaran, Sabah, didakwa di Mahkamah Majistret Tuaran.
Tertuduh warga Filipina, Arsit Indanan, 20, yang bekerja sebagai pencuci kereta dan warga tempatan, Amru Al Asy Japri, 24, didakwa di Mahkamah Bergerak di Tuaran Isnin lalu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Arsit dan Amru didakwa membunuh Mohammad Hanafiee Jaffar, 27, di dalam keretanya, Proton Saga FLX antara jam 4 hingga 5 pagi pada 25 Mei di tepi Jalan Marabahai.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes dan memerintahkan kedua-dua tertuduh terus direman dan tidak dibenarkan ikat jamin.
Terdahulu, peguam yang mewakili Amru, Dominic Chew, memohon anak guamnya pernah menerima rawatan di hospital psikiatri dan memohon dirujukkan ke Hospital Mesra di Bukit PAdang untuk menentukan sama ada dia layak untuk membuat pengakuan.
Bersama-sama Dominic dalam mewakili Amru ialah peguam Aida Jaafar Md Ariff, manakala Arsit tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Papilus Primus membantah permohonan itu.
Majistret berkata, mahkamah akan mempertimbangkan permohonan peguam Dominic sekiranya dia boleh menunjukkan bukti kad temu janji Amru dengan pihak hospital berkenaan kepada mahkamah.
Sumber: Harian Express
Sumber : thereporter.my