GUA MUSANG: Masyarakat orang asli di Kampung Kuala Koh di sini menderita penyakit misteri yang meragut nyawa.
Sepanjang bulan Ramadan lalu, seramai 13 penduduk orang asli suku kaum Bateq di sini termasuk seorang kanak-kanak berusia 1 tahun didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri tersebut.
Semalam satu lagi kematian dilaporkan membabitkan seorang penduduk wanita berusia 22 tahun.
Penduduk orang asli di Kampung Kuala Koh kini hidup dalam kebimbangan apabila seorang demi seorang saudara mereka meninggal dunia dan mereka seolah-olah ‘menunggu masa kematian’.
Mereka mendakwa kematian itu berpunca daripada sumber air tandak yang digunakan untuk aktiviti seharian.
Penghulu Kampung Kuala Koh, Mamat Pokok ketika ditemui berkata, seramai 30 penduduk dibawa ke Klinik Kesihatan Aring 1 dan Chiku 03.
Katanya, seramai 14 penduduk telah dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) dan tiga lagi yang agak kritikal telah dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).
“Sejak awal Ramadan lalu, penduduk mula diserang penyakit. Kami syak ia berpunca daripada sumber air tandak yang tercemar.
“Kampung ini ada 223 penduduk dan 57 ketua isi rumah. Bagaimanapun, lebih separuh daripada kami kini sedang bertarung nyawa.
“Sumber air tandak kami tercemar dengan sisa perlombongan bijih besi yang telah beroperasi sejak empat tahun lalu,” katanya.
Katanya, awal Ramadan lalu hanya beberapa penduduk dijangkiti penyakit itu namun seminggu kemudian bilangannya bertambah.
“Kami berharap pihak berwajib membantu dan datang ke kampung kami untuk menyiasat perkara berkenaan,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 120 penduduk kampung sama membabitkan 30 keluarga diserang penyakit misteri apabila kulit mereka bersisik, bernanah dan berkudis sejak beberapa bulan lalu.
Sumber: kulihatlangitbiru.com