Zoo Negara Perlukan Bantuan Orang Ramai Untuk Hidup


Buat mereka yang pernah berkunjung ke Zoo Negara, sudah tentu ia menjadi satu tempat yang meninggalkan kenangan indah sewaktu kecil bersama keluarga dan kawan-kawan dengan melihat dunia haiwan dan alam sekitar secara depan-depan. Tetapi, bila kali terakhir korang pergi ke Zoo Negara ini?

Zoo Negara yang dahulunya pernah mencatat jumlah pengunjung sebanyak 1 juta setiap tahun dari 1985 hingga 1995 telah menunjukkan jumlah penurunan dan kini memerlukan lebih ramai pengunjung dan penajaan bagi menampung kos penjagaan haiwan terutama Harimau Malaya yang menelah kos RM40,000 setahun bagi seekor harimau.


Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Rahmat Ahmat Lana, ia memerlukan RM100 sehari untuk memberi makan harimau Malaya manakala harimau Bengal makan 10kg daging atau bernilai RM200 sehari dan ia memerlukan sejumlah RM500,000 bagi penjagaan keseluruhan Harimau di sana.

“Mengambil faktor dalam perbelanjaan pekerja, kita memerlukan kira-kira RM500,000 setahun. Secara idealnya, untuk memperluaskan dan menjadikan zoo tumpuan pemerhatian harimau Asia, kita memerlukan kira-kira RM1 juta setiap tahun.

“Ini juga boleh didapati melalui penajaan swasta, yang mana syarikat boleh menaja satu atau lebih haiwan selagi mereka suka. Mereka juga boleh menamakan bayi yang baru lahir.”

Dahulunya, keseluruhan operasi dapat ditampung apabila mereka menerima peruntukan RM5 juta bagi tempoh 5 tahun yang tamat pada tahun 2004 dan kini hanya menerima bantuan kerajaan yang berbentuk one-off.

Sejak tahun 2014 juga, Zoo Negara mencatatkan rekod sebanyak 708,000 pelawat, ketika China menghadiahkan Malaysia dua ekor panda raksasa, Xing Xing dan Liang Liang.


“Pada 2016, kami mempunyai 435,000 pelawat sahaja dan ia jatuh ke 345,000. Tetapi angka pulih sedikit dengan 368,000 orang yang datang pada tahun lepas. Tetapi ia masih merosot secara keseluruhan.”

Oh! Media: Bagi kami, Zoo Negara masih boleh menjadi destinasi pilihan untuk membawa anak-anak dalam melihat kehidupan haiwan dan alam semula jadi dan bolehlah kiranya kita mencari sedikit masa untuk berkunjung ke sana yang sedikit sebanyak dapat membantu memajukan ekonomi negara.


Sumber: Oh! Media