1.30 PAGI SELASA 21 MEI 2019
30 gerai di Bazar Melayu Masjid India, Kuala Lumpur dilaporkan musnah dalam kebakaran.
27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Sentul dan Unit Forensik BBP Seri Rampai dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.38 pagi.
Bomba menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi pemadaman api berikutan banyak kenderaan diparkirkan di sekeliling kawasan itu.
Api berjaya dikawal sekitar jam 2 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.22 pagi.
Siasatan mendapati, 30 lot gerai musnah 100 peratus dalam kebakaran dan tiada sebarang kemalangan jiwa.
Punca siasatan dan kerugian masih dalam siasatan.
8.33 PAGI
Salah seorang penjaja di Bazar Melayu Masjid India, Nur Fasilah Zainul Abidin, 27, berkata, dia pada awalnya menyangka asap yang dilihatnya itu adalah asap vape. Namun menyedari kebakaran berlaku apabila terhidu bau hangit lalu menjerit meminta tolong.
Beberapa penjaja lain dan orag awam cuba memadamkan kebakaran tetapi tidak berhasil sebelum pihak bomba tiba di lokasi itu lapan minit kemudian.
"Api marak dengan cepat, berikutan kebanyakan gerai di situ ditutup dengan kanvas serta plastik selain barangan yang ada juga mudah terbakar," katanya.
12.13 TENGAH HARI
Linda Razali, 35, antara peniaga di bazar itu berkata, jualan mereka semalam adalah jualan yang paling memberangsangkan dan sudah lama tidak pernah mendapat hasil seperti itu. Tetapi segalanya musnah bila gerai mereka dijilat api.
Beliau yang berniaga tudung berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh rakannya di kawasan bazar tersebut.
"Kawan saya telefon bagi tahu kedai saya terbakar. Terus saya rasa nak pitam dna lemah semangat. Saya menangis memikirkan nasib sempena bulan Ramadan ini dan nak sambut raya," katanya memetik laporan dari BERNAMA.
Salah seorang saksi kejadian, Syed Yusof Abdul, 60, berkata, kebakaran itu merupakan kejadian kali ketiga setelah bazar itu beroperasi selama 16 tahun.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memindahkan sementara semua 30 gerai bazar yang terjejas dengan kebakaran itu ke Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau 5.
Bagaimanapun, perpindahan itu tertakluk kepada persetujuan semua peniaga terbabit dan DBKL meminta penjaja berbincang dengan persatuan terlebih dahulu dan sekiranya tidak bersetuju, mereka diminta untuk menyatakan cadangan untuk DBKL buat penilaian.
DBKL tidak membenarkan penjaja yang terjejas berniaga di tapak terjejas sehingga siasatan pihak boleh selesai, selain membolehkan DBKL melakukan kerja-kerja pembaikan.
Persatuan Peniaga Bazar Melayu Moden Jalan Melayu Off Jalan Masjid India menjelaskan kebakaran yang berlaku bukan disebabkan perbuatan khianat atau sabotaj.
Siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat litar pintas.
Ekoran kejadian itu, operasi di bazar itu ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan.
Sumber : thereporter.my