PUCHONG – Saya sangat rindu nak dengar suara dia menangis, begitulah rintihan seorang ibu, Safia Nasir, 34, resah dengan penyakit dihidapi bayi perempuannya yang lahir sejak April tahun lalu.
Menurut Safia, bayinya, Norshiffa Auni Yaakob, yang berusia setahun disahkan mengidap penyakit Hydrocephalus sejak berada di dalam kandungan lagi.
Berikutan itu, Safia berkata, sejak lahir, kepala bayinya itu semakin membesar disebabkan berlakunya pengumpulan cecair otak yang berlebihan.
“Sejak lahir, Norshiffa pada mulanya memang ada menangis namun sejak Februari lalu, saya dah tak dengar suara dia.
“Ibu mana yang tak sedih bila anak yang dikandungnya sendiri menderita. Namun saya anggap ini sebagai ujian daripada ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Safia berkata, pada Februari lalu juga, Norshiffa sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur bagi membuang cecair di dalam kepalanya itu.
Bagaimanapun, selepas beberapa perbincangan dijalankan, Safia berkata, pembedahan tersebut terpaksa dibatalkan berikutan doktor pakar tidak berani untuk mengambil risiko.
“Selepas itu, kami sepakat untuk membawa Norshiffa pulang dan menjaganya sendiri di rumah kami yang terletak di Kampung Tengah, Puchong,” katanya.
Buat masa ini, Safia berkata, bayinya itu juga perlu minum susu melalui tiub khas yang dipasang oleh pihak hospital sebelum ini.
Malah, ibu kepada lima orang cahaya mata ini juga mengharapkan agar mana-mana doktor pakar yang mempunyai pengetahuan mengenai penyakit tersebut untuk tampil bagi membantu anak bongsunya itu.
“Buat masa ini, Norshiffa hanya terlantar dan saban hari, kepalanya itu semakin membesar. Saya harap ada pihak yang boleh membantu,” katanya.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin salur sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank: 12362015253 (Yaakob Abd Rahim-bapa).
Sumber: kulihatlangitbiru.com