Bagaikan dirobek jiwa melihat sekujur tubuh kecil yang merupakan darah daging sendiri dibaluti kain kafan. Mungkin tidak pernah terdetik dalam hati setiap ibu bapa betapa sekejapnya Allah pinjamkan anak kepada mereka.
Inilah yang harus dihadapi oleh seorang bapa yang perlu menerima hakikat bahawa anak perempuannya telah pergi buat selama-lamanya, dua minggu sebelum ulang tahun pertama kelahiran anaknya itu.
Perkongsian si bapa di Facebook meruntun hati setiap pembaca. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya menanggung derita kehilangan anak yang tercinta.
Pinjaman Allah hanya setahun…
Bustaman dan isteri menyifatkan pemergian anak yang diberi nama Haisya Rania bagaikan satu mimpi sekaligus menghilangkan seri dalam hidup mereka.
Rania tiada sejarah kesihatan yang buruk
Menurut Bustaman, Rania mudah dijaga sejak dia dilahirkan, malah tidak mengalami sebarang penyakit mahupun dimasukkan ke hospital.
Namun, tarikh 2 Mei 2019 menjadi satu detik permulaan mereka bakal kehilangan puteri kesayangan apabila Rania tiba-tiba mengalami demam dan kemerahan pada tonsilnya sehingga terpaksa mengambil ujian darah.
Habiskan sisa-sisa waktu bersama…
Doktor berkata, Rania dijangkiti kuman dalam darah. Walaupun masih terkawal tetapi dia perlu diberikan antibiotik. Namun pada malam sebelum Rania meninggal, arwah banyak merengek dan tidak boleh melelapkan mata.
Keesokan harinya, keadaan Rania bertambah buruk dan terpaksa dikejarkan ke ICU. Doktor memberitahu, keadaan Rania kritikal dan mereka sedang sedaya upaya menyelamatkan anak kecil itu.
Namun, sudah tertulis ajal dan maut, Rania akhirnya menghembuskan nafas terakhir tepat jam 10.30 pagi pada 8 Mei lalu.
Sejak pemergian Rania, pasangan suami isteri ini cuba untuk redha walaupun sedikit sukar. Sesungguhnya ajal dan maut itu sudah menjadi ketentuan Allah. Kita sebagai ibu bapa perlu redha sekiranya ajal datang menjemput tidak kira cepat atau lambat.
Sumber: Bustaman Rusli
Sumber: kulihatlangitbiru.com