KUALA TERENGGANU: Nabil Ahmad Latpi baru dua minggu bersama skuad Terengganu FC (TFC), namun bekas pemain kelab Ultimate FC dalam Liga M3 itu berjaya mencuri tumpuan pada dua penampilan awalnya.
Satu gol ketika pasukannya seri 1-1 dengan FELDA United pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi serta satu gol ketika pasukannya tewas mengejut 5-3 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) membuktikan kehadirannya dalam skuad Penyu itu cukup bermakna.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kampung Paya Sulaiman, Pendang, Kedah itu enggan mendabik dada sebaliknya mengakui masih banyak yang perlu dipelajari memandangkan dia menganggap dirinya masih 'mentah' daripada segi pengalaman.
"Alhamdulilah, rezeki Allah kerana boleh dapat dua jaringan dalam dua perlawanan awal, ia sesuatu yang positif kerana saya baharu menyertai pasukan pada 5 Mei lalu, namun saya akui masih banyak yang perlu dipelajari daripada jurulatih dan pemain berpengalaman dalam pasukan,” kata Nabil yang pernah mendapat tawaran daripada pasukan negeri kelahirannya sebelum ini.
"Lagipun saya belum begitu serasi sepenuhnya dengan rakan sepasukan, tapi akan cuba meningkatkan lagi prestasi pada perlawanan seterusnya jika terus diberi kepercayaan oleh barisan jurulatih.
"Saya juga tidak berasa selesa dengan jaringan itu walaupun rezeki saya dua perlawanan awal dua gol dihasilkan, yang penting saya perlu bekerja lebih keras untuk membantu pasukan setiap kali diturunkan."
Pada pertemuan dengan skuad The Fighters malam tadi, pemain yang bakal menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan, Nor Shamira Zakaria pada 9 Jun depan membuka tirai jaringan pada minit ke-83.
Namun dua minit sebelum tamat permainan, pemain import FELDA, Kei Ikeda menyamakan kedudukan sekali gus membuatkan anak buah ketua jurulatih sementara TFC, Nafuzi Zain berputih mata untuk mengutip mata penuh.
"Nak kata tidak kecewa, kecewalah juga jaringan penyamaan lawan ketika kami di ambang kemenangan untuk meraih tiga mata, tapi kita beraksi sebagai satu pasukan, jika menang, seri atau kalah, kami satu pasukan tetap terima apapun keputusan.
"Apapun kami perlu bangkit pada aksi seterusnya bertemu Selangor pada Jumaat ini di tempat kami," kata pemain berusia 27 tahun itu yang mengidam menyarung jersi skuad kebangsaan jika diberi peluang. - Berita Harian