Paduka Ayahanda Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat hari ini, adalah seorang raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadian almarhum yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutama apabila berlaku sesuatu bencana.
Almarhum yang mangkat pada usia 89 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu, ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.
Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai sebagai seorang yang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah adalah antara orang yang terawal akan ‘menyinsing seluar’ mencemar duli melawat daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh-kesah dengan rakyat.
Walaupun Pahang antara yang kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, baginda tidak pernah jemu meranduk air, berhujan dan menaiki bot bagi membantu mangsa dan pernah mengerah tukang masak istana memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan.
Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamaannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya ‘saya’ juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak menegur pihak yang terbabit jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.
Ini terbukti apabila Almarhum menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands Nov 2014.
Begitu juga ketika kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.
Dalam kalangan pengamal media, baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui di satu-satu majlis.
“Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” adalah ungkapan yang sering diucapkan menjadi pegangan baginda sehinggalah ketika baginda mula jarang kelihatan di khalayak kerana gering, sebelum menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anakandanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Disember 2016.
Sultan Ahmad Shah diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930. Baginda adalah anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.
Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Walaupun pembelajaran baginda terganggu susulan Perang Dunia II, namun baginda mengambil kesempatan itu untuk turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Apabila Perang Dunia kedua berakhir, baginda meneruskan pembelajaran di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang apabila peperangan tamat.
Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Universiti Oxford dan Universiti Exeter, Devon United Kingdom dalam bidang pentadbiran tempatan.
Tuanku juga berkesempatan menjalani latihan amali di Sidmouth Urban District Council selama tiga tahun. Sultan Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri.
Putera dan puteri baginda ialah Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella, Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah, dan Tengku Datuk Shahariah.
Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera, Tengku Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.
Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada usia 14 tahun dan ketika berusia 35 tahun, baginda pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpangkalan di Kem Batu 5, Mentakab Pahang.
Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang kelima 5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar pekan setahun kemudian iaitu pada 8 Mei 1975.
Baginda kemudian dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong keenam dan melaksanakan tugas sebagai ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh yang memerintah negara 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Lain-lain jawatan yang pernah disandang baginda termasuk Ketua Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) 1 Julai 1983, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1984 sehingga 2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002 serta dipilih menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011.
Sumber: Oh! Media