Sudah Boleh Lupakan Lee Tuck


Pemain tengah Terengganu, Lee Tuck nampaknya boleh melupakan hasrat bermain untuk Malaysia sebagai pemain berdarah campuran. Tetapi usah khuatir, pemain itu tetap boleh menyarung jersi Malaysia, sebagai pemain naturalisasi, dengan syarat perlu tunggu dua tahun lagi.

Lee Tuck yang mengakui mempunyai nenek/moyang berasal dari Malaysia sehingga kini belum dapat membuktikan perkara tersebut, berikutan kegagalan untuk mencari dokumen sah mengenainya.

Justeru itu, ejen pemain Effendi Jagan berkata, "Buat masa ini kita lupakan dulu tentang Tuck bermain untuk Malaysia hingga dia dapat dokumennya itu.

"Tapi kalau tak dapat kita ada cara lain iaitu memohon sebagai pemain naturalisasi sepertimana Sumareh namun dia kena tunggu lagi dua tahun untuk cukupkan lima tahun berada di negara ini.

"Dia sudah bermain di negara ini selama tiga tahun. Saya percaya dia mungkin boleh kekalkan prestasinya sehingga cukup lima tahun di sini.

"Bagi saya, Tuck seorang pemain yang positif dan sentiasa mengambil berat tentang kecergasan diri. Cuma kita tak boleh nak jangka apa yang akan berlaku di masa depan tetapi sebagai pemain profesional dia tahu bagaimana untuk mengekalkan kecergasan dan prestasinya," katanya dilaporkan Arena Metro.