Siti Nor Hanim Alya sempat mengucap sebelum pergi buat selama-lamanya

TUMPAT – Bapa kepada Siti Nor Hanim Alya Hamid, 17, salah seorang daripada dua pelajar yang maut dirempuh kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi ini sempat mengajar gadis itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya.

Menurut Hamid Sulong, 63, sejurus kejadian berlaku di Kilometer 12 Jalan Kota Bharu- Pengkalan Kubor dekat Kampung Pasir Puteh penduduk memaklumkan perkara itu kepadanya dan dia segera bergegas ke lokasi nahas.

Katanya, dia sempat tiba dan segera memangku kepala anaknya yang ketika itu masih bernyawa dan terbaring di dalam parit.

“Allah sahaja tahu perasaan saya melihat anak terbaring di dalam parit, saya terus pangku dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

“Saya sedaya-upaya mengajar arwah mengucap ketika dia nazak, akhirnya dia sebut Allah..Allah…sebelum menghembuskan nafas” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Tambahnya, kelakuan Allahyarham Siti Nor Hanim Alya agak pelik hari ini kerana meminta izin mahu menunggang motosikal sendiri ke sekolah.

“Biasanya saya hantar dia setiap pagi, tetapi hari ini dia nak bawa sendiri motosikal kerana mahu singgah di rumah kawan ambil tudung waktu pulang sekolah.

“Saya sempat berpesan padanya supaya bawa motor elok-elok sewaktu dia bersalam dan cium tangan saya ketika turun dari rumah,” katanya.

Menurutnya, Allah lebih menyayangi mangsa yang merupakan anak ke-15 daripada 16 beradik apabila ‘pergi’ di bulan Ramadan.

Kemalangan pukul 7.24 pagi ini itu turut meragut nyawa rakan sekelas gadis itu, Noor Asmida Ellyana Abdullah, 17, yang menunggang sebuah lagi motosikal lain bersama adiknya.

Adik mangsa yang membonceng, Puteri Balqis Abdullah, 13, cedera di kepala, patah kaki dan dirawat di Hospital Tumpat.

Siti Nor Hanim Alya maut di tempat kejadian kira-kira 200 meter dari sekolah dan rakannya, Noor Asmida Ellyana disahkan meninggal dunia di Hospital Tumpat.

Ketiga-tiga mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com