Lambakan pekerja asing di Malaysia adalah berpunca daripada sikap rakyat yang tidak mahu membuat kerja-kerja tertentu walaupun mereka sebenarnya berkemampuan melakukannya sendiri, kata Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2019 di PICC semalam.
Beliau berkata, sikap itu menyebabkan peluang pekerjaan yang ada itu direbut dan dikuasi oleh pekerja asing dan akhirnya mereka menjadi kaya dan rakyat pula menjadi miskin.
Kerajaan menyedari kebimbangan rakyat berhubung masalah kebanjiran pekerja asing dalam negara dan beliau menegaskan pihaknya telah mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan mereka digajikan hanya apabila benar-benar diperlukan oleh sektor yang kurang sambutan pekerja tempatan seperti sektor 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).
"Dasar kerajaan amat jelas bahawa keutamaan pekerjaan di Malaysia adalah kepada warganegara," katanya.
Mahathir juga berkata, pengambilan ramai pekerja asing juga akan menyebabkan pengaliran keluar wang keluar negara.
"Jika mereka (rakyat) tidak bekerja, mereka tiada pendapatan. Sebaliknya orang asing akan bekerja dan duit kita mengalir keluar. Kita juga tidak boleh bagi duit percuma (kepada rakyat) seperti dulu," katanya.
Ditanya sama ada tawaran gaji yang rendah menjadi punca kepada tenaga kerja tempatan enggan bekerja di sektor 3D, Mohamed berkata, perbandingan itu tidak wajar kerana apa yang penting adalah mempunyai pekerjaan dan mendapat gaji.
"Jika tidak bekerja, tidak ada gaji langsung. Kita bekerja untuk majukan negara, jika kita tak nak kerja, orang lain dapat duit, kita yang rugi," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sumber : thereporter.my