Sesungguhnya Pencetus Kebangkitan Semula Lagu Nasyid


Kumpulan nasyid unggul, Raihan berterima kasih kepada Alif Satar kerana membantu menaikkan kembali populariti lagu nasyid, Sesungguhnya. Diperkenalkan di YouTube sejak 9 Mei lalu yang versi baharu Sesungguhnya 2019 itu pantas menarik perhatian peminat dan sehingga ini telah mencatat hampir 7.5 juta tontonan.

Tidak menyangka kolaborasi mereka akan membuahkan hasil di luar dugaan, anggota Raihan, Che Amran Idris menyifatkan gandingan bersama Alif sebagai permulaan terbaik untuk menyemarakkan kembali lagu nasyid.

“Alif memberitahu, dia begitu meminati lagu Raihan dan meluahkan hasrat untuk bekerjasama. Tidak sampai dua bulan, proses rakaman lagu itu siap dan ia keluar tepat pada masanya iaitu ketika umat Islam meraikan permulaan Ramadan,” katanya.

Selain Che Amran, Raihan turut dianggotai Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim. Che Amran menyifatkan, Sesungguhnya menyimpan kenangan yang tersendiri dan rakaman semula itu mengimbau memori peminat yang sudah sebati dengan lagu mereka.

Kehadiran Alif pula katanya, memberi lebih impak, sekali gus memperkenalkan Raihan kepada peminat generasi muda untuk lebih mengenali dan mendekati mereka.

“Gabungan ini juga saya anggap sangat unik kerana ia menyatukan dua kelompok peminat yang berbeza. Bayangkan, sebelum ini, Raihan hanya mempunyai sekitar 10,000 pengikut di Instagram, tetapi kini jumlahnya sudah lebih 40,000,” katanya.

Ditanya kemungkinan bekerjasama lagi dengan penyanyi itu, Che Amran berkata, mereka mahu terlebih dahulu memberi laluan kepada Sesungguhnya 2019 untuk terus mendekati peminat.

“Diikutkan Alif, dia memang banyak perancangan, cuma kami mahu terlebih dahulu melihat sejauh mana penerimaan ramai terhadap lagu itu. Kami tidak mahu terburu-buru merebut peluang hingga ‘membunuh’ momen yang dicipta Sesungguhnya 2019. Kami sudah mempunyai material baharu, cuma menanti masa untuk diolah sebelum kembali ke studio rakaman,” katanya.
Sumber: Oh! Media