Selangor sukar menang di SSINS, padang tak sempurna - Sathianathan


HASRAT Selangor untuk kembali mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super tampak sukar apabila dijadual bertandang ke Kuala Terengganu untuk menentang Terengganu FC (TFC) malam esok.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata kesukaran itu bukanlah disebabkan faktor pertukaran jurulatih mahupun kebangkitan yang mahu dilakukan skuad Penyu selepas diaibkan dalam dua perlawanan terdahulu.

Sebaliknya, Sathianathan menjelaskan faktor padang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu menjadi perkara yang paling merisaukannya.

"Semua tahu bukan mudah untuk beraksi di Kuala Terengganu dengan keadaan padang yang sebegitu (tidak rata dan keras).

"Saya rasa dalam Malaysia, padang di stadium itu yang paling kurang sempurna sebab susah untuk bermain di sana.

"Saya rasa padang itu hanya sesuai untuk pemain TFC dan bukan kita. Itulah yang akan beri kesusahan nanti," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Tambah Sathianathan, tidak cukup dengan masalah yang akan bakal menanti di sana, skuad The Red Giants juga terpaksa beraksi serba tempang ekoran hilang khidmat beberapa tonggak yang mengalami kecederaan.

"Syahmi (Safari) tidak dapat diturunkan kerana cedera. Kita juga masih tak boleh guna khidmat Endrick (dos Santos).

"Tapi saya harap pemain yang mengisi kesebelasan utama nanti dapat beraksi dengan baik dan tidak lagi mengulangi kesilapan di Manjung (ketika bertemu PKNP FC) minggu lalu," katanya.

Pada masa sama, Sathianathan turun mengharapkan penyerang importnya, Ifedayo Olesegun yang telah menjaringkan empat gol dalam dua penampilan sebelum ini akan terus meledak untuk membantu pasukan mencipta kemenangan. - Sinar Harian