‘Saya tiada komen, tanya YB Menteri’ – Peguam Adib enggan dedah punca tarik diri

SHAH ALAM – Peguam yang menarik diri sebagai wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendedahkan beliau membuat keputusan itu pada saat akhir.

Syazlin Mansor ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut tentang keputusan mengejutnya itu pagi tadi.

Beliau sebaliknya menyarankan pengamal media meminta penjelasan lanjut daripada menteri, Zuraida Kamaruddin.

“Saya tiada komen. Tanya YB Menteri.

“Baru sahaja,” katanya ketika ditanya bila beliau mengambil keputusan itu.

Syazlin sebelum itu berada dalam Mahkamah Koroner berkata, Peguam Negara (AG) dan menteri akan berbincang bagi memuktamadkan penggantinya.

“Saya difahamkan pihak KPKT dan bomba kekal dalam prosiding ini, saya yakin Peguam Negara akan bincang bersama menteri siapa yang akan ganti saya,” katanya.

Saksi pakar yang dirujuk peguam kementerian itu sebelum ini, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid ketika ditemui juga enggan mengulas apabila ditanya berkenaan berita mengejut hari ini.

Shahrom yang merupakan saksi ke-29 sepatutnya dipanggil semula untuk memberi keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ia susulan saksi Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi dipanggil semula dua minggu lalu. -MalaysiaGazette



Sumber: kulihatlangitbiru.com