BESUT – Hasrat empat sekeluarga menyambut Aidilfitri tidak lama lagi musnah dan terpaksa tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Belaoh, Hulu Besut dekat sini petang semalam, dipercayai berpunca dari bunga api.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Zaharah Hassan, 70, sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur manakala dua cucunya, Nur Aisyah Shahfia Mohd. Ismail, 8, dan Nur Dayana Qistina, 7, sedang bermain di hadapan rumah.
Dua beradik itu dipercayai bermain bunga api di bahagian depan bawah rumah berkenaan.
Tidak lama kemudian, Zaharah yang mengalami masalah penglihatan berkata, dia terasa bahang panas sebelum nampak api dari bahagian depan rumahnya.
Zaharah bersama dua cucunya itu bergegas keluar dari rumah yang sedang marak terbakar sebelum meminta bantuan penduduk kampung.
Dalam pada itu, ibu kanak-kanak itu, Harizah Mohammad, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah kakaknya kira-kira 1 kilometer dari situ dan dua anaknya itu ditinggalkan sementara untuk dijaga nenek mereka.
“Selepas itu saya nampak kepulan asap hitam dari jauh dan saya mula rasa tak sedap hati, rupanya memang betul rumah kami terbakar,” katanya.
Harizah terus bergegas pulang dan mendapati keseluruhan rumahnya musnah dijilat api menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan jumlah kerugian ditaksirkan lebih RM50,000. – UTUSAN ONLINE
Sumber: kulihatlangitbiru.com