Ringgit jatuh antaranya disebabkan menteri PH ‘bodoh’ – Daim

KUALA LUMPUR – Notis cukai pendapatan yang terlalu banyak dihantar kepada orang ramai membuatkan rakyat takut berbelanja hingga menyebabkan ringgit mengalami kejatuhan, kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Daim berkata perkara itu diburukkan lagi apabila penghantaran notis cukai itu diumumkan kepada orang ramai hingga menyebabkan mereka takut berbelanja.

“Income tax tak perlulah kacau orang. Kalau hantar notis mereka takut nak belanja, patut jangan kacau rakyat.

“Sebelum ini tidak pernah umum, bila Pakatan Harapan jadi kerajaan, hantar notis sampai lapan juta.

“Lapan juta notis kalau seorang isteri dan seorang suami sudah 16 juta, kacau ni. Anda bunuh keyakinan. Dulu mereka keluar makan, sekarang mereka takut nak keluar,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.

Beliau menasihatkan menteri-menteri Kabinet supaya berbincang terlebih dahulu dengan Setiausaha Akhbar masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Kalau nak buat kenyataan, bincang tengok apa kesannya, bincang dengan pegawai kemudian bincang menteri dengan menteri. Bukan seronok-seronok buat kenyataan.

“Kalau positif keluar kenyataan, kalau negatif jangan keluar kenyataan, kalau negatif nak umum juga, bodoh lah,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com