Remaja pakai baju 'Malu Apa Bossku' putus lima jari akibat letupan mercun


Padah bermain mercun, seorang remaja berusia 13 tahun putus lima jarinya petang semalam. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 petang di Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja, Besut, Terengganu, mangsa, Syafiq Haikal Shaharrudin cedera di pergelangan tangan kanan dan putus kesemua jarinya. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kes itu merupakan kes mercun pertama di Besut pada tahun ini dan mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. 

Ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, berkata, dia terdengar bunyi letupan dan jeritan dari luar rumah sebelum dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa Syafiq cedera parah terkena mercun. 

"Saya segera keluar rumah untuk melihat keadaannya. Saya dapati jari Syafiq di tangan kanan putus dan segera membawanya ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya. 


Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil. 



Sumber : thereporter.my