Ramadhan: Persetubuhan Hingga Selesai Azan Subuh



Soalan:
Sepasang suami isteri melakukan persetubuhan pada bulan Ramadhan berdekatan fajar sebelum azan sampailah kepada azan. Mereka hanya berhenti apabila selesai muazzin daripada azan. Apakah hukumnya di sisi syarak?

Jawapan:
Apabila adalah muazzin azan ketika terbit fajar maka yang wajib ialah menahan diri dari segala yang membatalkan puasa dari masa terbit fajar hingga waktu maghrib. Maka apabila berkata muazzin: “Allahu Akbar”, nescaya wajiblah berhenti dari makan minum dan jimak dan sekalian perkara yang membatalkan.

Berkata Imam Nawawi: “Apabila telah terbit fajar dan di dalam mulutnya ada makanan maka hendaklah ia keluarkannya. Maka jika dia sudah keluarkannya maka sah puasanya. Dan jika dia menelannya juga maka batal puasanya. Dan jikalau telah terbit fajar dan seorang sedang bersetubuh maka wajib berhenti segera dan sah puasanya. Adapun jika telah terbit fajar seorang itu sedang bersetubuh dan tahu telah terbit fajar dan ia kekal di atasnya maka batal puasanya tanpa khilaf. Telah menaskan atasnya oleh imam dan mengikutnya oleh Ashab dan tiada diketahui khilafnya di sisi ulamak. Wajib atasnya membayar kafarah atas yang difatwakan disisi mazhab.” (Kitab Al-Majmu’ jilid 6 m.s. 329)

Maka kami telah sebutkan bahawa seorang yang ada di dalam mulutnya makanan ketika fajar telah terbit maka hendaklah ia keluarkannya dan meneruskan puasanya maka jika ia telan setelah ia tahu tentang terbitnya fajar maka batal puasanya. Ini tiada khilaf padanya.

Dan dalilnya ialah hadith Ibnu Umar r.a. dan Aisyah r.a. bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

إن بلالا يؤذن بليل , فكلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم
“Sungguhnya bilal azan ia pada waktu masih malam maka makan dan minumlah kamu sehingga azan Ibnu Ummi Maktum.” [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]


Maka kias atas inilah apabila muazzin azan waktu terbit fajar maka wajib seorang itu berhenti dari jimak dengan segera ketika mendengar takbir pertama dari azan tersebut. Jika tidak berhenti maka rosak puasanya dan wajib atas suami isteri qadha dan wajib pula membayar kafarah atas suami.

Tertib Kafarah

• Merdekakan seorang hamba yang mukmin.

• Berpuasa dua bulan berturut-turut tidak termasuk qadha sehari. Maka jika ia berbuka sehari dalam masa dua bulan itu sekalipun sebab sakit maka hendaklah dimulakan semula dari awal.

• Memberi makan 60 orang miskin bagi tiap-tiap seorang secupak makanan mengenyangkan pada negerinya.


Melainkan mazhab Maliki tiada tertib padanya bersalahan kafarah zihar ada padanya tertib. Dan memberi makan disisi Maliki lebih afdhal dari merdekakan hamba dan berpuasa.

Dan di sisi mazhab Hanafi bagi setiap orang miskin kadar yang mengenyangkan.

Maka jika seorang itu lemah dari membayarnya maka kekal ia menjadi kewajipan dalam tanggungannya. Tiada suatu yang lain lagi sebagai ganti.

Dalil yang demikian itu ialah hadith Abu Hurairah r.a. yang berasal dari Bukhari dan Muslim berkata ia:

جاء رجلٌ إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : هلكت يا رسول الله ؟ قال : وما أهلكك ؟ قال : وقعت على امرأتي في رمضان ، فقال : هل تجد ما تعتق به رقبة ؟ قال : لا ، قال : فهل تستطيع أن تصوم شهرين متتابعين ؟ قال : لا ، قال : فهل تجد ما تطعم به ستين مسكينا ؟ قال : لا ، ثم جلس فأتى النبي صلى الله عليه وسلم بعرقٍ فيه تمرٌ فقال : تصدق بهذا فقال : أعلى أفقر منا ؟ فما بين لابتيها أهل بيتٍ أحوج إليه منا ، فضحك النبي صلى الله عليه وسلم حتى بدت أنيابه ، ثم قال : اذهب فأطعمه أهلك
Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw dan berkata: “Binasa aku wahai Rasulullah.” Sabda Nabi: “Apa yang membinasakan kamu?” Jawabnya: “Aku telah menjimak isteriku ketika siang Ramadhan.” Nabi bersabda: “Kamu ada hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tiada.” Sabda Nabi pula: “Kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Sabda Nabi: “Kamu ada makanan untuk diberikan kepada 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tiada.” Kemudian Nabi pun duduk dan dibawa datang kepada Nabi satu bekas besar berisi kurma lalu bersabda Nabi: “Bersedekahlah dengan ini.” Kata lelaki itu: “Kepada orang yang lebih susah dari kami? Tiada siapa yang lebih susah dari kami sekeluarga.” Maka ketawa Nabi sehingga nampak giginya lalu bersabda: “Bawa balik makanan ini dan beri makan keluargamu.”

Dan pada riwayat Abu Daud: “...dibawa datang kepada Nabi akan satu bekas yang berisi 15 gantang kurma dan menyuruhnya makan dengan keluarganya dan berpuasa selama satu hari sebagai qadha dan bersitghfar kepada Allah.”


Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Sumber: Oh! Media