Gempa bumi yang melanda Lombok Julai tahun lepas telah menyebabkan masjid kampung Dusun Dasan Baru musnah dan tidak dapat digunakan. Bertindak dengan keadaan itu, rakyat Malaysia bertindak memberikan sumbangan dengan usahasama Pasaraya Econsave, pertubuhan bukan kerajaan MyCARE, dengan kerjasama PKPU Human Initiative, Indonesia membabitkan kos RM100,000.
Sambutan Aidilfitri pastinya lebih bermakna buat masyarakat disini apabila masjid baharu yang sedang dibina mampu menampung kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa bakal siap dua hari sebelum Hari Lebaran. Masjid baharu tersebut dibina di atas tapak masjid lama yang musnah akibat gempa. Ketua Kampung Suherman Urun ketika menzahirkan terima kasih atas sumbangan masjid yang diterima masyarakat, tidak dapat menahan sebak kerana memikirkan kesusahan yang dialami penduduk kampung itu selepas tragedi gempa bumi berkenaan.
Turut disumbangkan adalah seekor lembu dan seekor kambing bagi majlis berbuka puasa untuk kira-kira 300 hingga 400 orang. Sumbangan tersebut merupakan sebahagian misi MyRamadan Gempa Bumi Lombok bermula Jumaat melibatkan pelbagai pihak termasuk pasaraya Econsave dan MyCare serta beberapa NGO lain. Seramai 14 sukarelawan dan rakan media terlibat dalam misi itu dengan menyampaikan beberapa sumbangan kepada masyarakat di sekitar Lombok bagi meringankan beban mereka terutama ketika Ramadan.
Sumber: Oh! Media