KUALA LUMPUR – Orang ramai diajak menyumbang pendapat masing-masing secara dalam talian menerusi saluran khas ‘Kertas Konsultasi Rakyat’ bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim, berkata dalam usaha memperkasa aspirasi pendidikan negara, PTPTN perlu mengatasi cabaran utamanya melibatkan kekangan kewangan sedia ada disebabkan tahap bayaran balik pinjaman yang masih rendah.
“Walaupun peminjam sedia ada mungkin berasa mereka kumpulan lebih terkesan dengan dasar pembayaran balik PTPTN, terdapat kumpulan masyarakat lain, mungkin tidak menyedari mereka juga memegang kepentingan dalam keputusan yang harus dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saluran khas ‘Kertas Konsultasi Rakyat’ berkenaan mengandungi maklumat penting PTPTN, 10 idea penambahbaikan PTPTN, selain ruangan orang ramai memberi maklum balas, boleh diakses melalui portal rasmi PTPTN.
Sheikh Shahruddin berkata hutang agensi itu kini mencecah RM40 bilion, sedangkan pelajar yang memerlukan pinjaman dijangka terus meningkat daripada 180,000 kepada 250,000 orang pada 2040, selaras unjuran peningkatan pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.
“Berdasarkan kedudukan kewangan sedia ada, PTPTN tidak mampu menyediakan pinjaman secara mampan kepada mereka yang bergantung kepada PTPTN untuk meneruskan pendidikan tinggi pada masa hadapan. Ini memberi kesan terhadap prospek generasi masa depan,” katanya.
Terdahulu, Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat itu menganjurkan sesi ‘townhall’ konsultasi rakyat pertama berkaitan isu PTPTN di Universiti Malaya, manakala empat lagi sesi sama akan diadakan di Universiti Sains Malaysia pada 25 Mei; Universiti Malaysia Terengganu (27 Mei); Universiti Malaysia Sabah (29 Mei); dan Universiti Malaysia Sarawak (31 Mei).
Berikut 10 idea dicadangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat yang boleh diakses melalui portal rasmi PTPTN:
1) Penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan RM2,000 ke bawah.
2) Menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM4,000.
3) Menggantikan sistem bayaran balik sedia ada kepada skim bayaran balik berasaskan pendapatan untuk peminjam baharu.
4) Potongan gaji mandatori.
5) Melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya.
6) Menguatkuasakan lebih tegas terhadap peminjam culas yang tidak membayar balik dalam tempoh lama.
7) Melaksanakan sistem penjamin.
8) Pemansuhan pengecualian bayaran balik graduan kelas pertama atau digantikan dengan pengecualian separa.
9) Mengurangkan jumlah peminjam, secara beransur-ansur menamatkan pinjaman kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan kursus berprestasi rendah.
10) Menaikkan caj ujrah satu peratus kepada peminjam baharu. – BERNAMA
Sumber: kulihatlangitbiru.com