PH baru tahu mansuh tol memerlukan kos yang besar – Mahathir

PUTRAJAYA – Pemansuhan tol menjadi antara janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang tidak tertunai selepas satu tahun mentadbir negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, janji itu gagal ditunaikan selepas menyedari kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerajaan seandainya ia dilaksanakan.

“Kita telah berjanji untuk menghapuskan tol tetapi kini kita sedar, sebelum ini apabila kita memutuskan untuk menghapuskan tol, kita tidak memahami kos.

“Tetapi sekarang kita menyedari bahawa untuk menghapuskan tol bermakna kerajaan perlu membeli semua lebuh raya dan itu melibatkan kos yang besar.

“Untuk PLUS sahaja, kerajaan perlu membayar RM30 bilion sebelum kerajaan boleh menghapuskan tol.

“Jadi persoalannya ialah adakah kita menggunakan RM30 bilion untuk itu atau kita menggunakan RM30 bilion untuk tujuan lain yang lebih penting?” katanya pada sidang media khas satu tahun Malaysia Baharu di pejabatnya di sini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan tol di tiga laluan motosikal dilihat sebagai satu langkah awal sebelum tol dimansuhkan sepenuhnya seperti dijanjikan kerajaan PH dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pemansuhan tol motosikal itu ialah di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan memansuhkan tol sepenuhnya itu tidak dapat dilakukan dalam kadar segera kerana keadaan negara kini yang dibebani dengan masalah kewangan.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol, membabitkan empat lebuh raya berkenaan.

Dengan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada, dan sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol semasa pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak yang dicadangkan antara jam 11 malam dan 5 pagi.



Sumber: kulihatlangitbiru.com