Permintaan kelapa naik mendadak sampai beruk kena ‘overtime’

WALAUPUN kepenatan, pemetik kelapa di daerah ini tersenyum lebar berikutan peningkatan mendadak tempahan daripada pengusaha santan dan kuih raya sejak 1 Ramadan lalu.

Pada kebiasaan sebelum ini mereka hanya memetik sehingga 200 kelapa namun sejak Ramadan, jumlah itu meningkat kepada 300 sehingga 600 sehari.

Abdul Malek Alias, 63, berkata, dia menggunakan dua beruk dewasa berusia dua tahun untuk memetik kelapa sekitar Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru.

“Saya mengehadkan tempahan daripada pengusaha santan dan kuih berikutan bimbang tak dapat penuhi permintaan mereka.

“Bagaimanapun, saya tidak menaikkan harga, kelapa belum dikupas kekal RM1.30 sebiji manakala siap dikupas pula RM1.60,” katanya.

Dia yang 20 tahun terbabit dalam aktiviti itu berkata, berikutan peningkatan tempahan ada pemilik pokok enggan membahagikan secara sama rata jumlah keseluruhan kelapa dipetik mengikut perjanjian sebelum ini.

“Sekarang pemilik pokok memilih untuk bayar upah memetik pada kebiasaannya RM1 sebiji. Mengikut perjanjian sebelum ini kalau petik 500 biji maka 250 atau separuh dari keseluruhan kelapa jadi milik saya.

“Sekarang mengikut sistem upah saya hanya dapat RM250, jadi pemilik pokok dapat untung lebih mereka juga bebas jual buah itu kepada sesiapa saja,” katanya.

Difahamkan purata harga kelapa dikupas kepada pengusaha santan atau kuih sekarang ialah RM2 sebiji manakala belum dikupas RM1.70 atau RM1.80 sebiji.



Sumber: kulihatlangitbiru.com