Penjawat awam Kelantan dapat bonus raya RM500

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengumumkan pemberian bonus RM500 kepada lebih 6,000 kakitangan kerajaan negeri, sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata pembayaran bonus berkenaan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM3.3 juta.

“Bonus akan diberi seperti tahun lalu iaitu RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri dan pembayaran akan dibuat seawal minggu depan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri menawarkan diskaun denda cukai sebanyak 70 peratus bermula hari ini sehingga Disember.

Katanya, diskaun denda cukai berkenaan bagi menggalakkan orang ramai tampil membuat pembayaran.

“Denda cukai bergantung kepada jumlah tahun yang mereka tidak bayar dan kita berharap diskaun diberikan ini mampu menggalakkan mereka membayar cukai.

“Berbanding tahun lalu, kita menawarkan diskaun juga, namun hanya sebulan, tetapi tahun ini kita memberi tempoh selama enam bulan,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com