Pasukan Pro Evolution Soccer (PES) Malaysia berjaya mencipta kejutan setelah menjadi naib juara di World Intelligent Congress (WIC) 2019 yang baru sahaja selesai dilangsungkan pada 16 hingga 19 Mei. Pro Evolution Soccer (PES) 2019 antara kejohanan e-sukan yang dianjurkan oleh International Intelligent Sports Congress (ISC) 2019.
Untuk pengetahuan korang, terdapat 10 negara yang menyertai kejohanan tersebut iaitu Brazil, China, Indonesia, Myanmar, Serbia, Sepanyol, Singapura, Thailand, UK dan Malaysia yang diwakili oleh pasukan PES Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sukan Eletronik Malaysia (ESM)
10 pasukan tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan. 4 daripada 5 pasukan setiap kumpulan layak ke pusingan suku akhir.
Pasukan Malaysia terdiri daripada Nor Hafizan bin Jamil (JJ) dan Ahmad Muazz bin Amir Rosaedi (Maul), yang bermain dalam ketegori solo setiap seorang dan co-op.
Selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan, pasukan Malaysia berjaya mengalahkan pasukan Singapura di suku akhir dengan kiraan mata 2-1. Di peringkat separuh akhir, Malaysia meneruskan rentak cemerlang untuk mengalahkan Sepanyol yang merupakan juara bagi kumpulan B di peringkat kumpulan seterusnya melayakkan pasukan Malaysia ke peringkat akhir.
Walaubagaimanapun, impian pasukan Malaysia untuk menjadi juara disekat oleh bekas juara dunia iaitu pasukan Brazil di perlawanan akhir. Pasukan Malaysia tewas tipis 2-1. Walaupun tidak berjaya menjadi juara, pencapaian Pasukan Malaysia harus dipuji dan Oh! media harap Malaysia dapat melahirkan lagi ramai pemain Pro Evolution Soccer (PES) yang berbakat serta mengharumkan nama Negara di peringkat antarabangsa.
Sumber: Oh! Media