SHAH ALAM – Unit Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati rakyat di negara ini masih tetap memilih Pakatan Harapan (PH) berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Ketuanya, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata, berdasarkan kajian secara bersemuka dengan 1,400 responden mendapati, jawapan rakyat dari segi prestasi PH agak kritikal, namun mereka akan tetap memilih PH.
“Dari segi prestasi PH, responden sangat kritikal tetapi apabila memilih parti, mereka tetap pilih PH dan hasil dapatan ini selari dengan tinjauan umum yang dilakukan oleh Kajidata Research,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Kelmarin, Kajidata Research mendedahkan ramai melihat PH sebagai kerajaan yang berdaya maju berbanding kerajaan BN sebelum ini.
Tinjauan melalui telefon itu membabitkan 1,007 responden daripada pelbagai kaum, usia, pendapatan, negeri dan jantina menunjukkan 40 peratus lebih cenderung untuk mengundi PH berbanding Pas (16 peratus) atau BN (15 peratus).
Bagaimanapun, PH tetap mempunyai sokongan yang lebih besar jika dibandingkan dengan gabungan BN dan Pas.
Kajian yang dijalankan untuk membantu memahami persepsi rakyat terhadap PH juga menunjukkan 43 peratus daripada pengundi berpendapatan tinggi berpuas hati dengan cara PH menguruskan ekonomi tetapi hanya 30 peratus daripada golongan berpendapatan rendah berpuas hati.
Perbezaan itu mempunyai kesan politik yang jelas dengan pengundi berpendapatan rendah lebih berkemungkinan mengundi gabungan BN dan Pas berbanding PH.
Analisis tinjauan juga menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi rakyat adalah antara faktor penting dalam menentukan kesetiaan politik.
Kajian yang dijalankan sejak Mac tahun ini juga mendapati PH tidak mendapat sokongan tinggi di Kelantan dan Terengganu, satu lagi petunjuk PH masih tidak dapat meyakinkan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah bandar bahawa ia adalah pilihan yang lebih baik.
Bagaimanapun, PH mempunyai sokongan padu di negeri di bawah pentadbirannya termasuk responden Sarawak yang juga menyatakan keyakinan mereka kepada PH.
Sementara itu, Syed Arabi berkata, walaupun hasil kajian yang dilakukan oleh UIA mendapati golongan yang berpendapatan dan berpendidikan rendah memilih BN dan Pas sebagai satu entiti parti politik, namun secara keseluruhan masih lagi memihak kepada PH.
“Perlu difahami bahawa terdapat perbezaan antara memilih parti dengan suka kepada parti tertentu. Ini sesuatu yang berlainan.
“Memang benar responden kritikal terhadap isu tol, minyak dan kos sara hidup tetapi dalam membuat keputusan untuk memilih parti, nampaknya majoriti masih memilih PH,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pihaknya ingin men-dedahkan hasil keseluruhan kajian, Syed Arabi berkata, mereka tidak berhasrat untuk berbuat demikian, sebaliknya untuk rujukan mereka sahaja.
Sumber: kulihatlangitbiru.com