Kerajaan PH tidak begitu disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran lama yang memberi “duit percuma”, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kerajaan lama suka beri wang percuma kepada rakyat, semua orang dapat wang percuma,” katanya pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo hari ini.
“Tapi kini kita (PH) sudah ambil alih, kita perlu tanggung hutang beban hutang, kita tak ada duit dan kita tak boleh beri duit percuma.
“Dan apabila kita tak beri duit percuma, orang tak suka kita,” kata pengerusi PH itu.
Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, kerajaan perlu berhati-hati serta cermat dalam menguruskan kewangan negara untuk memperbetulkan masalah kewangan.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya ketidakpuasan hari rakyat terhadap kerajaan PH terutamanya orang Melayu baru-baru ini.
Tinjauan yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan rating PH dan Dr Mahathir menurun.
Sementara itu, Dr Mahatahir mendakwa pentadbiran lama BN bertanggungjawab dalam membentuk mentaliti rakyat yang bergantung kepada bantuan kewangan percuma.
Menurutnya, mentaliti seperti itu tidak baik untuk negara.
“Kita mahu betulkan perkara ini. Negara yang rakyatnya bergantung kepada duit percuma daripada kerajaan tidak akan berkembang. Hanya negara yang rakyatnya bekerja keras akan berkembang,” katanya.
“Negara terbaik di dunia adalah negara di mana rakyatnya bekerja keras dan dari hasil kerja mereka memberikan lebih banyak pulangan kepada negara,” katanya.
Dalam sesi soal jawab, Dr Mahathir juga menekankan bahawa beliau akan menepati janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“(Ketika PH mula ditubuhkan), kita bersetuju bahawa gabungan itu akan diterajui oleh saya sebagai pengerusi.
“Kita juga bersetuju bahawa jika saya menjadi perdana menteri, ia adalah untuk sementara. Tapi tempoh sebenar tidak disebutkan. Saya setuju Anwar akan ambil alih jawatan saya dan saya akan memenuhi perjanjian itu.
“Sudah tentu akan ada pihak yang bantah perjanjian yang saya persetujui ini, tapi itu masalah orang lain, bukan masalah saya,” katanya.
Dr Mahathir juga memberi jaminan bahawa beliau akan menyelesaikan masalah kewangan negara sebelum berundur.
Sumber: kulihatlangitbiru.com