Nora Danish Kawal Selera Makan Dengan Kurma


Bimbang gagal mengawal selera gara-gara air tangan suaminya, pelakon Nora Danish menguatkan semangat dengan mengamalkan pengambilan tiga biji kurma dan air kosong, termasuk ketika bersahur.

Kesannya, kata pelakon yang popular menerusi drama Puteri itu, dia hilang lapan kilogram tidak sampai sebulan, namun tetap bertenaga menjalani ibadat puasa. Nora berkata ia juga membantunya mengawal selera daripada menikmati masakan yang disediakan suaminya, Nedim Nazri Aziz, terutama jika tidak terikat dengan komitmen kerjaya.

"Ini kali pertama saya cuba mengambil kurma sahaja ketika bersahur, tetapi kesannya begitu ketara. Saya langsung tidak terasa lapar, malah kekal bertenaga sehingga waktu berbuka puasa. Saya juga dapat mengawal selera makan kerana setiap malam 'berkampung' di lokasi penggambaran drama Iman yang bermula sebelum Ramadan lagi.

"Jadi, saya dapat mengelak daripada menikmati masakan suami yang sememangnya sedap dan sukar untuk ditolak. Kehebatannya di dapur membuatkan saya selalu tewas dengan godaan makanan," katanya.

Nora yang kembali aktif selepas melahirkan anak kedua, Mohamed Neqayl Nedim yang kini berusia 15 bulan berkata, dia begitu teruja menanti kedatangan 1 Syawal. Selain bakal meraikannya di kediaman baharu, keseronokan Nora berganda apabila anak yang mesra disapa Ney Ney itu sudah mula bertatih dan dijangka dapat berjalan menjelang Syawal ini.

"Apabila sudah bergelar ibu, keutamaan pasti kepada anak. Saya dan suami hanya bersederhana menyambut raya. Untuk Ney Ney sahaja, saya sudah sediakan enam persalinan. Tidak sabar rasanya mahu bawa dia berjalan-jalan ke rumah saudara-mara kerana ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu, dia masih terlalu kecil. Sejak arwah ayah meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun, kami sekeluarga hanya bersederhana meraikan lebaran," kongsinya.
Sumber: Oh! Media