Najib terkejut, sedih bila tahu duit masuk akaun peribadi – Saksi

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan reaksi terkejut dan sedih apabila mengetahui ada seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, 58, berkata Najib bagaimanapun tidak menyuruhnya membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata Najib menunjukkan reaksi itu ketika beliau pergi menemui Ahli Parlimen Pekan itu di kediamannya di Langgak Duta, di sini, selepas ditahan reman oleh SPRM pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-37 itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-20, hari ini.

Muhammad Saifuddin: Selepas kena reman, Datuk ada jumpa Najib?

Dr Shamsul Anwar: Ya

Muhammad Saifuddin: Datuk kata dia (Najib) terkejut, sedih apabila tahu ada seseorang telah memasukkan duit dalam akaun, ada dia kata pada Datuk suruh buat laporan polis atau laporan pada SPRM?

Dr Shamsul Anwar: Tidak

Sementara itu semasa diperiksa balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata bekas perdana menteri itu terkejut apabila diberitahu mengenai pemindahan wang ke dalam akaun beliau itu.

Muhammad Shafee: Bagaimana reaksi dia?

Dr Shamsul Anwar: Dia terkejut dan sedih… dia berkata seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaunnya… dan dia kata dia tidak tahu-menahu langsung mengenai transaksi kewangan itu. Kenapa transaksi dilakukan menerusi syarikat saya (Ihsan Perdana).

Muhammad Shafee: Tindakan dia itu tulus atau hanya ‘lakonan’ seperti seorang pelakon?

Dr Shamsul Anwar: Tindakan dia itu tulus.

Muhammad Shafee: Jika kamu tahu bahawa itu akaun Najib adakah kamu tidak akan memindahkan wang itu?

Dr Shamsul Anwar: Ya.

Muhammad Shafee: Kamu juga boleh ke rumah atau pejabat dia untuk bertanya mengenai projek-projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu?

Dr Shamsul Anwar: Ya. dan juga menerusi SMS dan WhatsApp.

Muhammad Shafee: Kamu sangat selesa dengan Najib?

Dr Shamsul Anwar: Ya

Beliau menambah bahawa kebanyakan program CSR di bawah Ihsan Perdana adalah daripada idea Najib dan dia tulus mahu membantu mengatasi kesusahan rakyat.

Najib, 66, dituduh dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.- Bernama



Sumber: kulihatlangitbiru.com