Datuk Seri Najib Razak yang merupakan bekas Perdana Menteri dikatakan dilihat terkejut dan sedih apabila mengetahui terdapat wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya.
Perkara ini diceritakan oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman yang mendakwa telah melihat sendiri reaksi Najib itu semasa melakukan perjumpaan di rumah bekas Perdana Menteri pada tahun 2015.
Saksi ke-37 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
“Dalam pertemuan itu, saya bercerita mengenai tahanan reman dan soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap saya.
“Dalam pertemuan itu beliau terkejut dan sedih. Beliau beritahu ada orang yang masukkan wang itu ke dalam akaun peribadinya dan tidak tahu langsung mengenai transaksi itu... mengapa ia melalui syarikat Ihsan Perdana,” katanya.
Bagaimanapun ketika menjawab soalan semula oleh Timbalan Pendakwa Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi sama ada Najib menyuruhnya untuk membuat laporan polis, Dr Shamsul Anwar menjawab “Tidak“
Sementara itu, Dr Shamsul Anwar berkata, semua program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan Ihsan Perdana adalah idea Najib sendiri.
Beliau berkata, Najib ikhlas untuk mengurangkan beban dan penderitaan rakyat.
Dr Shamsul Anwar berkata, beliau sangat rapat dengan bekas Perdana Menteri itu dan mereka selalu berjumpa empat atau lima kali setahun dan kerap menghubungi melalui panggilan telefon atau WhatsApp.
Sumber: Oh! Media