Soalan:
Bilakah berlakunya malam al-Qadar?
Jawapan:
Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT telah menjadikan satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadhan yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr, 1-3]
Kesungguhan Nabi SAW Pada Sepuluh Malam Terakhir
Antara hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda SAW adalah:
1. Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut.” [Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 3436]
2. Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
“Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.” [Riwayat Muslim, no. hadith 2009]
Pendapat Ulama’ Dalam Menentukan Malam al-Qadar
Dalam isu ini, terdapat banyak hadith dan juga pendapat dalam menetukan malam al-Qadar. Walaupun begitu, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat kepada kita berkaitan malam al-Qadar ini. Antaranya, Baginda SAW menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadhan. Berdasarkan sebuah hadith, daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا
“Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” [Riwayat Ahmad, no. hadith 85]
Adapun mereka yang menentukan malam al-Qadar terdapat banyak pendapat, antaranya:
Pertama: Pendapat yang paling kuat mengikut para ulama bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
Mengikut Abu Ka’ab RA katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam al-Qadar berada dalam bulan Ramadhan dan jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, beliau enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
Daripada riwayat Muawiyah RA yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.”
Riwayat ini disokong oleh Ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu adalah dhamir (هِيَ) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar RA yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari malam al-Qadar, hendaklah dia mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam al-Qadar pada malam yang ke-27.”
Kedua: Pada malam 23 Ramadhan. Inilah adalah pendapat Imam Syafie RA dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik RA, Ibn Khuzaimah RA, Abu Awanah RA dan al-Thahawi RA berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ
“Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan.” [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. hadith 3250]
Ketiga: Pada malam 21 Ramadhan. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie RA dengan berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadith tersebut daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ
“Tuntutlah (carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan.” [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1176]
Keempat: Pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
“Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan.” [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. hadith 1569]
Kelima: Pada malam terakhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Muawiyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
“Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan.” [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. hadith 1571]
Tarjih
Setelah melihat pendapat-pendapat di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa malam al-Qadar adalah pada malam ke-27 Ramadhan sebagaimana pendapat yang pertama. Ini kerana, hujah atau dalil yang dikemukan adalah lebih kuat berbanding pendapat yang lain. Walau bagaimanapun, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Namun begitu, ini tidak bermakna kita tidak perlu berusaha atau bersungguh-sungguh pada malam-malam yang lain iaitu selain malam ke-27. Kita sepatutnya menghidupkan setiap malam pada bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam yang terakhir sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Rahsia Menyembunyikan Lailatul Qadar
Antara rahsia Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari malam tersebut, seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan nama-Nya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.
Penutup
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media