Kerajaan PH komited tangani isu tangga gaji tidak seimbang

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited menangani isu tangga gaji tidak seimbang dalam kalangan graduan baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beberapa cadangan sudah dikemukakan kepada Kabinet berhubung perkara itu.

Katanya, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati isu tangga gaji pekerja di Malaysia tidak berubah berikutan kadar inflasi negara.

“Daripada bantuan wang tunai, kita sepatutnya memberi insentif kepada syarikat korporat supaya menggaji graduan baharu untuk bekerja dengan sebahagian gaji ditanggung kerajaan.

“Dasar itu sudah dilakukan Singapura dan ia berjaya dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TV3 Grand Bazar Ramadan Raya (TV3 GBRR) 2019 di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, cadangan berkenaan berada dalam penelitian Kementerian Kewangan.

“Kita tunggu pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com