Pesona Ramadan menarik Wakana Katayama, 20, ke Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman dan suasana bulan puasa yang sebelum ini hanya didengari melalui kawan-kawan dan media sosial.
“Semasa saya belajar di Kyoto Sangyo University, Jepun, saya berkawan dengan pelajar Muslim dari Indonesia yang suka bercerita tentang Islam, bermula dari situ minat untuk mengenali Ramadan mula berputik,” ujarnya.
Pertama kali menyambut bulan yang penuh berkat di Sintok yang beribu-ribu batu jauhnya dari Negara Matahari Terbit, perasaan ingin tahu terus membuak-buak. Masa dan peluang yang ada tidak dilepaskan dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu baharu.
“Datang Malaysia terus rasa nak puasa sebaik sahaja rakan-rakan memberitahu Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Saya rasa teruja untuk menyambut Ramadan, kerana sebelum ini hanya dengar-dengar sahaja tetapi tidak pernah melaluinya,” luah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Kyoto Sangyo University, Jepun yang menjalani praktikum selama 4 bulan di UUM.
Bagi Wakana, pertama kali tidak makan dan minum di siang hari menjadi detik paling memeritkan kerana tidak pernah berpuasa seumur hidupnya.
“Selalunya boleh makan tetapi bila Ramadan saya tidak boleh makan setiap masa jadi, hari pertama berpuasa amat memeritkan dan sangat sukar kerana orang Jepun tidak biasa dengan keadaan ini.
“Saya mula berasa lapar jam 2 petang, rupanya begini rasanya puasa macam-macam perasaan datang silih berganti, dahaga, penat, teringin nak makan tetapi saya tahan dan sabar semata-mata ingin merasai bagaimana berpuasa.
“Ini disebabkan masih banyak perkara yang saya tidak tahu dan saya ingin meneroka lebih lagi kerana apabila semakin kenal Ramadan semakin mudah untuk menyesuaikan diri,” ujarnya.
Walaupun mengharungi hari yang mencabar, sokongan rakan-rakan yang beragama Islam membakar semangatnya untuk terus bertahan. Wakana bersyukur dengan keprihatinan rakan-rakan yang sentiasa bercerita tentang Ramadan dan berkongsi bahan bacaan disertakan info bergambar memberi kekuatan buatnya untuk terus tabah menghadapi cabaran berpuasa.
“Nikmatnya puasa apabila kita dapat menahan lapar dahaga dari pagi dan menjamah makanan bila terbenamnya matahari. Saat berbuka puasa memang seronok tidak terkata, bayangkan selepas penat seharian tidak makan apa-apa terutamanya hari pertama yang amat memeritkan, saya tidak sangka dapat melakukannya,” luahnya.
Mengulas lanjut pengalamannya pada hari pertama berpuasa, Wakana dan rakan sebilik tidak tahu tentang makan di awal pagi iaitu bersahur jadi mereka tidak bangun dan tidak makan apa-apa dan bertahan sehingga pukul 5.30 petang.
“Setelah diceritakan panjang lebar barulah saya tahu caranya untuk kekal sihat bertenaga dengan sahur jadi sebaik masuk sahaja hari kedua, kami bangun seawal 5 pagi, menyiapkan makanan untuk bersahur seperti roti, pisang dan air,” tambahnya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui banyak perkara yang dipelajari selain ibadah puasa antaranya selok belok pentadbiran di Malaysia, mengenali budaya dan masyarakat majmuk serta mengubah tanggapannya terhadap Islam.
Wakana tidak melepaskan peluang berbuka puasa di masjid yang sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk merasai suasana di bulan puasa.
“Ketika ke masjid mereka tersenyum kepada saya dan menyapa dengan senyuman mesra, saya teruja diterima oleh orang Malaysia dan berharap Islam memberi kebaikan untuk orang lain. Saya mengagumi Muslim kerana mereka dapat mengawal diri mereka apabila berpuasa, semua orang memahami antara satu sama lain dan mereka kelihatan seperti keluarga di masjid.
“Puasa sukar bagi saya kerana saya tidak pernah berpuasa namun puasa adalah perkara biasa bagi mereka. Apabila saya beritahu saya juga berpuasa mereka terkejut dan gembira, lalu kami berbuka bersama-sama dengan pelbagai jenis makanan yang sedap,” ujarnya.
Wakana menyifatkan momen ini merupakan suatu pengalaman luar biasa yang manis untuk dikenang apabila pulang semula ke tanah air.
Sumber: kulihatlangitbiru.com