Isteri Ambil Ibu Susuan Bagi Anak Tanpa Pengetahuan Suami


Soalan:
Apakah hukum seorang isteri mengambil ibu susuan bagi anak tanpa pengetahuan dan persetujuan suami?

Jawapan:
Penyusuan anak merupakan tanggungjawab yang wajib digalas dan diberi perhatian oleh kedua-dua ibu dan bapa. Tiada khilaf dalam kalangan para fuqaha’ bahawa penyusuan anak adalah wajib selagi anak itu masih berada dalam umur susuan (dua tahun) dan memerlukannya. Menurut ulama mazhab Syafi’e dan Hanbali, menjadi kewajipan ke atas bapa untuk menyediakan penyusuan anaknya, dan tidak menjadi kewajipan ke atas ibu untuk menyusukan sendiri anaknya, serta suami tidak boleh memaksa isterinya untuk berbuat demikian. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 22/239)

Jelas daripada petikan di atas, kedua-dua ibu dan bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan penyusuan terhadap anak. Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).” [Surah al-Baqarah (233)]


Dalam ayat di atas, Allah SWT memberi keringanan kepada suami dan isteri untuk menghentikan penyusuan kepada anak berdasarkan konsep عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا, yang bermaksud “persetujuan setelah perundingan”. Maka dapat difahami disini bahawa urusan yang melibatkan kebajikan seorang anak mestilah memerlukan persetujuan bersama dan perbincangan dua hala antara suami dan isteri.

Begitu juga dengan firman Allah SWT pada tempat yang lain:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
“...jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” [Surah al-Talaq (6)]

Allah SWT meminta kedua-dua lelaki dan wanita yang telah bercerai untuk berunding sesama mereka dengan cara yang baik berkenaan penyusuan anak. Maka adalah terlebih aula untuk suami dan isteri yang masih bersama untuk berbincang bersama.

Kesimpulan

Jelas melalui ayat-ayat al-Quran di atas dan pandangan para ulama bahawa urusan penyusuan anak perlu dibincangkan secara bersama antara suami dan isteri, dan keputusan untuk mengambil ibu susuan secara unilateral (sebelah pihak) tidak menepati maqasid perkahwinan itu sendiri, yang amat mementingkan konsep musyawarah (perbincangan) dan toleransi antara suami dan isteri, lebih-lebih lagi pada hal yang melibatkan kebajikan anak.

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa adalah haram bagi seorang isteri untuk mengambil ibu susuan bagi anaknya tanpa keizinan dan pengetahuan suami. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media